MALAYSIA bakal menuju ke arah negara tua menjelang tahun 2030 dengan jangkaan 14 peratus daripada penduduk Malaysia adalah berusia 60 tahun dan ke atas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata situasi ini berpotensi meletakkan sebahagian rakyat terutamanya golongan tua kepada risiko seperti isu kemiskinan, kesihatan dan perubatan, kekurangan simpanan persaraan serta penurunan produktiviti tenaga buruh yang seterusnya boleh menimbulkan implikasi kritikal terhadap prospek fiskal negara.
“Kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sedang merangka strategi pengukuhan program insurans sosial sebagai persediaan negara menghadapi risiko negara tua sekali gus mengelakkan krisis kemiskinan dalam persaraan di kalangan rakyat.
“Melalui Belanjawan 2024, pelbagai inisiatif diberikan bagi memastikan rakyat dapat melalui tempoh pra dan pasca persaraan dengan lebih baik antaranya peruntukan RM100 juta kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup dan had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Suri ditingkatkan kepada RM300 setahun terhad kepada RM3,000 seumur hidup,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang minta Perdana Menteri menyatakan usaha-usaha yang telah direncanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengelak krisis kemiskinan dalam persaraan yang semakin meningkat di kalangan rakyat.
Menurut Zaliha, kerajaan juga turut meneruskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dengan peruntukan RM50 juta memanfaatkan lebih 400 ribu suri rumah wanita yang berdaftar di dalam sistem eKasih.
“Selain itu, Program i-Sayang KWSP diperluaskan untuk turut membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syer pekerja kepada suami. – WILAYAHKU