LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melancarkan Mylnvois melalui pelaksanaan e-Invois untuk memperkukuhkan sistem percukaian negara, meningkatkan ketelusan dan membuat penilaian risiko pematuhan lebih tepat.
Menurut LHDN, e-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan 5,000 syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos 2024.
“Fasa kedua akan bermula pada 1 Januari 2025, melibatkan syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta dan seterusnya melibatkan semua pembayar cukai mulai 1 Julai 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar dan efektif, LHDN telah menyediakan dua mekanisme penghantaran e-Invois melalui Portal Mylnvois dan Application Programming Interface (API) untuk kemudahan pengguna.
Persekitaran pengujian dan produksi bagi API telah disediakan sejak April 2024 manakala Portal Mylnvois pula telah mula digunakan pada Jun 2024.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata Kementerian Kewangan telah mengumumkan
bahawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM150,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.
Bagaimanapun, beliau berkata PMKS digalakkan untuk melaksanakan e-Invois secara sukarela.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata pelancaran sistem Mylnvois ini merupakan titik permulaan reformasi percukaian di Malaysia dan memacu negara ke arah inovasi digital yang lebih mampan.
“Demi memastikan agenda nasional kerajaan ini direalisasikan, LHDN optimis dan komited dalam memastikan persiapan pelaksanaan e-Invois bagi fasa kedua dan fasa ketiga melibatkan jaringan pembayar cukai lebih besar berlangsung dengan sebaik mungkin sekali gus menjadikan platform e-Invois sebagai pemacu utama sistem percukaian negara,” ujar beliau. – WILAYAHKU