Berita

MyGrocer@Wilayah ringan beban B40

TRAK MyGrocer@Wilayah membantu warga tempatan mendapatkan bekalan makanan dengan harga lebih murah
- Diterbit 19 Julai 2024 3:00 PM MYT

INISIATIF MyGrocer@Wilayah yang julung kali diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di Pulau Bebas Cukai ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk khususnya golongan B40.

MyGrocer@Wilayah dilaksana bermula awal Julai ini menjadi perhatian penduduk yang mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan kadar harga rendah berbanding harga syiling.

Bagi seorang suri rumah, Erna Asnan,38, menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh JWP itu amat membantunya sekeluarga bagi mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar raya.

Katanya, dengan adanya inisiatif itu dapat meringankan beban dari segi kos perbelanjaan harian kerana barangan yang ditawarkan oleh MyGrocery@Wilayah amat berpatutan.

“Saya amat bersyukur kepada pihak kerajaan khususnya JWP kerana telah mengadakan inisiatif yang baik ini untuk membantu kami yang berpendapatan rendah mendapatkan barangan harian yang berkualiti pada harga murah.

“Jika dibandingkan dengan kadar harga yang dikenakan di tempat lain dengan harga yang ditawarkan di MyGrocer@Wilayah ia berbaloi walaupun perbezaan harga itu tidak lah jauh namun dapat memberikan penjimatan yang banyak kepada golongan B40,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Tambah ibu, kepada tiga cahaya mata itu, dia mencadangkan penambahan beberapa barangan keperluan asas yang lain.

“Bagi saya ketika ini, barangan yang ada begitu terhad dan hanya ada barangan dalam bentuk kuantiti yang besar serta tidak banyak pilihan.

“Cadangan saya agar MyGrocer@Wilayah menambah lagi barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran dan barangan mentah,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Ronney Micheal, 35, menyokong penuh usaha untuk meneruskan program itu kerana bakal membantu masyarakat pulau dari sudut ekonomi.

Katanya, kos sara hidup di pulau sememangnya tinggi berbanding di kawasan lain susulan kos pengangkutan yang dikenakan bagi setiap barangan, namun apabila adanya inisiatif seperti MyGrocer@Wilayah mampu meringankan beban masyarakat dalam perbelanjaan harian.

“Harga yang ditawarkan di MyGrocer@Wilayah ini amat murah, barangan yang dijual pun semuanya barangan yang berjenama. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan khususunya JWP kerana memperkenalkan inisiatif ini demi membela nasib kami.

“Saya rasa memang ini satu berita yang baik kerana bila program sebegini diteruskan, akan beri kelebihan kepada rakyat lagi-lagi penduduk kampung,” katanya.

Seorang peniaga yang terlibat dalam membekalkan barangan mentah, Sabni Sabtu,52, bersyukur kerana diberi peluang untuk menjana pendapatan buat keluarganya melalui inisiatif yang diperkenalkan JWP.

“Saya merupakan pembekal sayur-sayuran untuk MyGrocer@Wilayah di Labuan selain itu juga turut terlibat dalam pengoperasian inisiatif ini apabila diperlukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas