Berita

MYFutureJobs rekod 575,044 pencari kerja aktif, hanya 125,956 iklan jawatan kosong

- Diterbit 21 Oktober 2024 4:45 PM MYT

SEJUMLAH 575,044 pencari kerja aktif direkodkan dari Januari hingga 27 September lalu di portal MYFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), jumlah tersebut melebihi kekosongan jawatan yang ditawarkan iaitu sebanyak 125,956.

Jelas kementerian itu, melalui pelbagai program latihan kemahiran, KESUMA komited untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan dan pekerja, selaras dengan kehendak industri semasa.

“Bagi menangani cabaran guna tenaga kerja yang tidak sepenuh masa, terutamanya dalam kalangan graduan baharu dan pekerja tempatan, pelbagai program diperkenalkan.

“Antaranya program latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan, Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT), Kursus Berfokuskan Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

KESUMA menambah, selain itu terdapat juga program Kerjasama Strategik dan Pusat Teknologi yang memfokuskan kerjasama industri dalam pembangunan teknologi baharu.

Katanya, KESUMA Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan bantuan pembiayaan kepada pelatih yang mengikuti program kemahiran di sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi.

Ia jelasnya, diadakan secara berpakej dengan program persijilan kompetensi atau kelayakan ikhtisas sebagai nilai tambah kepada program Skim Kemahiran Malaysia (SKM).

“Ini termasuk pengiktirafan sebagai juruteknik bertauliah oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang meningkatkan nilai kebolehpasaran pelatih,” katanya.

KESUMA menambah, pihak kementerian komited untuk memastikan graduan dan pekerja tempatan dapat menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan dengan kemahiran yang diperlukan, terutama dalam sektor teknologi dan industri 4.0 yang sedang berkembang pesat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas