Berita

MyEG terima kelulusan JPJ untuk mulakan ujian perintis e-Ujian

- Diterbit 30 November 2023 5:04 AM MYT

MYEG Services Bhd (MyEG) telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneruskan fasa perintis Sistem Ujian Pemanduan MyEG (MYDTS) melibatkan calon ujian sebenar.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata ujian perintis MYDTS telah diluluskan untuk dijalankan dari 18 Dis 2023 hingga 16 Feb tahun depan.

“Pada masa ini, MyEG tidak meramalkan sebarang risiko berkaitan Ujian Perintis MYDTS.

“Lembaga berpandangan bahawa ujian itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dan seterusnya selepas pengkomersialan berjaya,” katanya.

Pada 2021, MyEG telah diberi persetujuan daripada JPJ untuk memulakan pembuktian konsep bagi sistem latihan dan ujian memandu automatik atau e-Ujian untuk menilai kompetensi calon yang menjalani kurikulum pendidikan pembelajaran pemandu.

Pada pasaran pembukaan hari ini, saham MyEG tidak berubah pada 80 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM6.01 bilion.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas