Berita

MyCC sedia bincang dengan KPB mengenai isu persaingan padi dan beras

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 10 Januari 2024 7:35 PM MYT

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) sedia berbincang dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras.

MyCC dalam kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu telah menyerahkan surat kepada KPB Oktober lepas, menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai isu itu, agar mereka dapat memberikan input mengenai sebarang kebimbangan berkaitan persaingan.

Menurutnya MyCC belum memulakan sebarang siasatan terhadap mana-mana pihak dalam industri ini dan masih belum menerima apa-apa maklumat daripada mana-mana pihak, khususnya KPB.

“Bagaimanapun kami ingin mengesahkan bahawa KPB akan bertemu MyCC pada 19 Januari 2024,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan berita bahawa MyCC bersedia untuk menyiasat beberapa siri dakwaan mengenai industri padi dan beras dalam negara.

MyCC juga menggesa semua pihak terutamanya media supaya berhati-hati, dan berhenti membuat sebarang spekulasi lebih-lebih lagi apabila KPB telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 4 Januari lepas yang menyatakan bahawa hasil penemuan mereka, tiada isu persaingan yang berkaitan dengan industri padi dan beras. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas