Berita

Muzium Marin Labuan jambatan penghubung zaman silam

SIMSUDIN ketika gimik pelepasan ikan sempena Program Semarak@Muzium Marin Labuan 2023 yang diadakan di Plaza Berpayung Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
- Diterbit 23 Julai 2023 5:00 AM MYT

MUZIUM Marin Labuan sentiasa ­komited ­memelihara dan mempromosikan ­warisan marin sebagai jambatan ­penghubung ke zaman silam yang ­menawarkan ­perspektif ­unik sejarah arkeologi dan membudayakan ekosistem marin negara.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman ­berkata ­penubuhan ­muzium seumpama ini dalam landskap permuziuman ­sebagai pusat informasi ­biodiversiti hidupan marin untuk tatapan generasi ­pada masa akan datang.

“Melalui pelbagai ­pengisian pameran, ­program pendidikan ­jangkauan ­luar dan inisiatif ­penyelidikan, muzium ini memainkan peranan penting dalam ­meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan marin yang menggalakkan ­amalan ­lestari,” katanya ­ketika berucap merasmikan Program Semarak@Muzium Marin Labuan 2023 yang diadakan di Plaza Berpayung Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada Sabtu.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Dr Othman Che Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman Jabatan Muzium Negara, Razaimi Hamat dan Pengarah Muzium Labuan, Muhammad Azam Adnan.

Anifah turut ­menyeru masyarakat ­berganding ­bahu dalam ­memelihara warisan marin ­kita ­dengan menggalakkan ­amalan lestari, menyokong ­usaha ­penyelidikan dan ­pemuliharaan ­serta ­meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ­ekosistem marin.

“Semua ­masyarakat ­harus menyahut dan ­memikul tanggungjawab ­sebagai ­penjaga lautan ­bagi memastikan generasi akan datang mendapat ­manfaat daripada usaha ­kecil ini ­dengan ­menyediakan ganjaran ­besar buat mereka iaitu lautan yang selamat dan kaya ­dengan hidupan marin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas