DEMI mahukan yang terbaik untuk video muzik (MV) dan kempen lagu raya berjudul Tum Tum Raya, penyanyi Shiha Zikir akui sanggup berhabis ratusan ribu ringgit.
Tidak berkongsi jumlah sebenar kos keseluruhan, lagu yang dinyanyikan bersama kakaknya Ieda Zikir itu turut mendapat kerjasama pihak penaja.
“Ini antara muzik video termahal yang pernah dihasilkan. Saya tidak mahu kongsikan kosnya berapa, tapi ia antara paling tinggi.
“Apa pun, saya berpuas hati dengan hasilnya, lebih-lebih lagi apabila mendapat kerjasama yang baik daripada rakan penaja,” katanya.


Juara Famili Duo 4 ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tum Tum Raya di RedBox The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Shiha juga tidak nafikan bukan mudah untuk pihaknya menghasilkan muzik video terhadap karya ciptaan Ajay Amai, Napie Hassan, dan dirinya sendiri itu.
Mengulas soal cabaran yang dihadapi sepanjang proses penggambaran MV, Shiha menyifatkan koreografi tarian pelbagai, termasuk pergerakan yang memerlukan tempo perlahan sambil menyanyi antara paling sukar untuk dilakukan.
“Sekitar 50 peratus gerakan yang sangat perlahan bukan satu benda yang senang sebab menari kena perlahan sambil mulut menyanyi.
“Proses penggambaran bermula dari jam 8.00 pagi dan hanya berakhir pada 6.00 pagi keesokan harinya, namun Shiha dan kakak berpuas hati dengan hasil akhir yang diperoleh.
“Terima kasih juga buat pasukan Shiha Zikir Empire dan semua pihak yang terlibat dari awal hinggalah semuanya siap seperti yang diharap-harapkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shiha menjelaskan lagu ini memiliki keunikan tersendiri selain MV juga melalui beberapa proses pengubahsuaian bagi memastikan ia sesuai dengan tema yang dikehendakinya.
Malah, inspirasi menghasilkan lagu ini datang daripada pemerhatiannya terhadap trend pengguna TikTok yang cenderung memilih lagu berirama rancak sebagai latar belakang video mereka.
“Bila buka TikTok, kebanyakan lagu latar jadi pilihan lagu-lagu catchy. Jadi saya fikir, kenapa tidak saya cuba untuk tampil dengan lagu raya berirama yang menepati selera ramai pendengar,” katanya.
Shiha juga berharap agar lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan pendengar lagu Melayu tetapi turut menarik minat pelbagai bangsa untuk menikmati irama raya yang lebih segar dan moden sempena lebaran kali ini. – WILAYAHKU