PERPADUAN dan kebersamaan merupakan elemen penting yang menunjangi falsafah Sarawak sekali gus membuktikan formula berkesan sehingga tampil sebagai sebuah wilayah yang berjaya di antara negeri-negeri lain yang membentuk Malaysia.
Pengerusi Kursi Pehin Seri Adenan Satem, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Profesor Madya Dr Mohamad Maulana Magiman berkata pembangunan Sarawak pada masa ini adalah atas dasar kesepakatan di antara penduduknya yang berbilang kaum tanpa menekankan kepada kepentingan individu menjadikan polisi yang diperkenalkan kerajaan yang dipimpin Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg disokong penuh rakyat jelata.
“Dasar Politik Pembangunan Rakyat yang ditunjangi oleh pemimpin di Sarawak bermula pada zaman Tun Abdul Taib Mahmud yang menekankan kepada Politik Pembangunan yang tidak hanya menjurus kepada parti yang memerintah, tetapi dicanang dengan kesepakatan antara kaum yang membentuk pentadbiran yang stabil.
“Pada zaman Abdul Taib, beliau telah mempopularkan konsep Politik Pembangunan bagi memastikan Sarawak turut maju dengan negeri-negeri lain menjelang tahun 2020 serta memperkenalkan model politik perkongsian kuasa melalui perpaduan dalam kalangan Bumiputera Sarawak dengan sokongan kerajaan pusat pada masa itu,” katanya kepada Wilayahku.
Menjelas lanjut, Mohamad Maulana berkata legasi itu diteruskan oleh Pehin Sri Adenan Satem yang meneruskan pembangunan politik Sarawak dengan menekankan konsep keharmonian dalam kalangan penduduk Sarawak yang tidak mahu fahaman melampau berkembang di Sarawak dan mahukan perpaduan dikekalkan oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau budaya dalam satu bumbung yang sama.
“Dalam perkara ini beliau turut menekankan bahawa sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau adalah Ketua Menteri untuk semua bangsa dengan menjelaskan konsep menghormati antara satu sama lain.
“Selain itu, sumbangan yang besar beliau adalah memperjuangkan hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan meminta agar pemberian royalti minyak kepada Sarawak ditingkatkan selain berjaya mendapatkan projek mega Lebuh Raya Pan Borneo yang giat dibina dan tiada penetapan tol,” katanya.
Katanya, usaha tersebut sebenarnya membangunkan ekonomi Sarawak selain untuk kemudahan rakyat di Sarawak yang perlu setanding dengan negeri-negeri di Malaysia.
“Dengan penyambungan dasar politik Pembangunan di Sarawak telah menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang mempunyai pendapatan sendiri dengan menekankan kepada perkongsian kuasa,” katanya.
Menurut Mohamad Maulana, legasi Pembangunan Sarawak diteruskan oleh Premier Sarawak, yang mesra disapa Abang Jo berteraskan kepada pemodenan Sarawak melalui pelbagai inisiatif yang sekali gus memperkasa sosioekonomi rakyat dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital.
“Dasar yang diperkenalkan ini adalah menjurus kepada Pembangunan berdasarkan perubahan global melalui ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), yang sekali gus mewujudkan perubahan era digital dan dunia tanpa sempadan.
“Pelbagai bentuk inisiatif seperti mewujudkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Ekonomi hijau dan sebagainya adalah untuk manfaat rakyat Sarawak.
“Kesemua yang diterjemahkan sehingga kini oleh kepimpinan telah meletakkan Sarawak mencatatkan kedudukan tertinggi dalam peningkatan nilai eksport selepas Selangor,” katanya.
Tambahnya, melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah mula untuk menempatkan Sarawak di kedudukan yang baik ke arah mencapai ekonomi rendah karbon dengan menyediakan tenaga bersih dan bahan api rendah karbon seperti gas asli cecair dan hidrogen.
Menurut beliau, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak mencatatkan peningkatan penggunaan gas asli telah merangsang pertumbuhan industri hiliran kepada pendapatan tinggi dengan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. – WILAYAHKU