Berita

Muncul dengan lagu tradisional Pujuk… Baby Shima akui serasi dengan Haziq

- Diterbit 26 Oktober 2024 10:42 PM MYT

PENYANYI popular Baby Shima akui amat senang bekerjasama dengan Haziq Rosebi ketika merakamkan lagu Pujuk.

Bagi Shima, sikap Haziq yang tidak sombong dan rendah diri memudahkan proses rakaman lagu dan pembikinan video muzik.

“Sepanjang bekerjasama dengan Haziq, semuanya berjalan lancar dan dipermudah. Saya rasa sangat selesa.

“Haziq ni orangnya baik, tak sombong, peramah dan tidak susah bekerja dengan dia. Dapat bergandingan dengan artis yang baik hati dan memberikan sepenuhnya komitmen juga adalah satu rezeki.

“Bukan itu sahaja, saya memang mengagumi suara Haziq terutamanya apabila dia menyanyikan lagu irama Malaysia. Suaranya tak perlu dipertikaikan lagi,” katanya.

BABY Shima akui selesa bekerjasama dengan Haziq dalam lagu Pujuk.

Sejak teaser lagu Pujuk dimuatnaik dalam media sosial, lagu irama tradisional ciptaan Affan Mazlan itu mendapat maklum balas positif dalam kalangan netizen.

“Alhamdulillah… Saya baru sahaja muat naik teaser lagu Pujuk dalam hantaran di Instagram. Tak sangka ramai yang suka dan tak sabar-sabar tunggu versi penuh lagu itu.

“Tak dinafikan, selepas saya muncul dengan lagu Ikatan Asmara duet bersama Allahyarham Fairuz Misran, memang peminat ada minta saya keluarkan lagi lagu irama tradisional. Jadi lagu Pujuk ini adalah hadiah buat mereka.

“Lagu Pujuk ini kisah pasangan kekasih yang saling memujuk apabila bergaduh-gaduh manja. Biasalah, perempuan bila merajuk, mestilah lelaki kena pujuk,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Shima juga akui lagu irama tradisional perlu terus dinyanyikan oleh pelapis muda kerana ia merupakan identiti bangsa kita.

Jangan lupa dengarkan lagu Pujuk yang bakal dilancarkan pada 28 Oktober ini di saluran YouTube MVM Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas