DAMIAN Mikhail bukanlah suatu nama baru dalam industri seni. Kariernya bermula dengan sebuah kumpulan R&B iaitu Voice of Euphonious, (V.E) dengan penampilan album pertama pada sekitar 1999.
Nama V.E melonjak naik apabila album Extreme Pleasure bersama Ruffedge mendapat sambutan hangat daripada peminat anak muda ketika itu.
Bukan sahaja seorang penyanyi tetapi merupakan seorang komposer, penulis lirik dan penerbit lagu yang tersohor di tanah air ini.
Damian juga berpengalaman sebagai seorang juri profesional di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

Terbaru, dia muncul dgn single pertama yang berjudul Hidayah. Ini merupakan julung kali dia menyanyikan sebuah lagu bertemakan ketuhanan secara solo.
Single ciptaan ini menceritakan mengenai hidayah iaitu petunjuk daripada Allah SWT kepada insan yang terpilih.
Hidayah seringkali sinonim dengan insan yang baru memeluk agama Islam. Namun, hidayah itu sendiri merangkumi sesuatu perkara yang lebih menyeluruh.
Susunan muziknya cukup sederhana sesuai dengan mesej hidayah itu yang merupakan sesuatu yang masih segar buat saudara baru.
Hanya iringan gitar dan cello sudah cukup menghadirkan rasa tenang dan damai bagi mereka yang mendengarkannya.
Lagu ini hasil sepenuhnya ciptaan Adi daripada kumpulan nasyid Saujana dan diterbitkan secara eksklusif bersama Azalinor Saujana. Ini merupakan kolaborasi pertama mereka dengan Damian.
Lagu Hidayah ini mendapat sentuhan pemuzik yang berpengalaman iaitu Syafiq Vai (gitar) dan Nazrin (cello) daripada kumpulan SOG.
Cukup istimewa, muzik video Hidayah ini mengetengahkan seorang saudara baru iaitu Maryam Narae, selebriti yang berasal dari Korea Selatan.
Dia yang turut dikenali sebagai Maryam DurianKimchi, berjaya menyentuh hati penonton walaupun muzik video ini tidak menampilkan Damian.
Namun, ia seolah-olah Maryam menggambarkan rasa hati dan nyanyian tulus Damian.
Untuk rekod, kedua-dua mereka memeluk Islam sebagai persediaan pernikahan dengan pasangan masing-masing. Namun begitu, perjalanan hidayah Damian telah hadir lama sebelum dia mendirikan rumah tangga iaitu selepas di bangku sekolah lagi apabila sering berkawan dengan sahabat-sahabat beragama Islam.
Lagu ini diterbitkan oleh Scriptology Sdn Bhd dengan edaran digital Euphoria Music dan sudah boleh ditonton di YouTube.
Dalam perkembangan lain, Damian bakal beraksi di showcase pertamanya pada 31 Ogos ini, jam 8 malam bersempena dengan ambang Kemerdekaan di Cafe LiberalLatte.my, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Tiket boleh dibeli melalui link ini : https://liberallattekl.storehub.me/products/damian-mikhail-live