MUFTI Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr Luqman Abdullah menasihatkan orang ramai agar berhati-hari memberikan komentar tanpa asas terhadap pelaksanaan hukuman sebat keatas pesalah yang telah disabitkan melakukan kesalahan khalwat berulang yang dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu baru-baru ini.
Katanya, berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di bawah mahkamah syariah di Malaysia, ia telah mengambil kira semua aspek termasuk aspek syarak.
“Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan berdasarkan seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan syarat-syarat yang mesti dipenuhi yang berkait dengan alat sebatan, kaedah dan bahagian badan yang boleh disebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Luqma, perkara yang telah dipolemikkan ialah pelaksanaan sebat di negeri Terengganu dan hukuman berkenaan ia telah dilaksanakan di khalayak ramai.
“Ia dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa Negeri Terengganu iaitu mengikut prosedur dan undang-undang seperti yang diperuntukkan oleh sub-seksyen 125 (3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001 yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah untuk mengarahkan hukuman sebat dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian atau suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Memandangkan hukuman yang dijalankan adalah hukuman takzir, maka keputusan pemerintah terhadap pelaksanaan hukuman tersebut perlulah dihormati dan dalam kes ini ia telah dilaksanakan di suatu dewan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata dalam pelaksanaan berkenaan, pihak mahkamah telah memberi kebenaran seramai 70 orang untuk menyaksikan hukuman tersebut dilaksanakan tanpa dibenarkan membawa sebarang alatan komunikasi dan perakam video.
“Ini juga selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang telah menetapkan bahawa kehadiran adalah tertakluk kepada perintah Mahkamah.
https://jksns.ns.gov.my/…/11.1.-AA-NO-11-Lampiran-SOP,” katanya.
Tegas beliau, isu tersebut hakikatnya bukanlah isu yang baharu berikutan tahun 2018, Mahkamah Tinggi Syariah negeri Terengganu telah menjatuhkan hukuman sebatan terhadap pesalah yang melakukan hubungan sejenis.
“Hukuman berkenaan telah dilaksanakan di salah satu dewan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang disaksikan dengan bilangan lebih 100 orang. Rujuk https://www.bharian.com.my/…/lesbian-menangis-ketika…,” katanya.
Ujar beliau, Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) sebelum ini telah membincangkan isu seumpama ini secara terperinci yang boleh dirujuk melalui Bayan Linnas Siri Ke-104.
“Untuk bacaan lanjut, sila rujuk artikel di pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/…/741-bayan-linnas-siri-ke-104…” katanya.-WILAYAHKU
[Iklan]