MUFTI Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menerima kunjungan Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Akmal Ridzuan, yang bertujuan berkongsi pandangan mengenai suasana dan cabaran dihadapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam hantaran di laman Facebook rasminya, Mohd Asri menyatakan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menyifatkan Akmal sebagai seorang yang berhemah serta berpotensi dalam peranannya.
“Sebagai seorang warga marhaen kampung, saya cuba memberikan beberapa pandangan dan cadangan dari perspektif ‘orang kampung’ untuk dinilai oleh pihak Kementerian (Jabatan) Wilayah dan DBKL. Jika ada yang sesuai, mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan setiap pihak, sama ada di peringkat atasan atau bawahan, dalam memainkan peranan bagi kemaslahatan negara, termasuk mewujudkan pengurusan yang stabil dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kunjungan itu juga mencerminkan niat baik pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam mendengar pandangan pelbagai pihak bagi memperkukuh pentadbiran serta pembangunan ibu negara.
“Semoga Allah merahmati usaha dan niat baik setiap kita,” katanya.-WILAYAHKU