SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan lagi individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Malah jelas MCMC, kandungan itu juga boleh membangkitkan kebencian dan persendaan kepada insititusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
“Berdasarkan laporan yang dibuat, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), dan telah mengambil tindakan merakam keterangan individu-individu yang terlibat melalui lapan operasi pemeriksaan di enam negeri kelmarin,” jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
MCMC memberitahu, lapan operasi itu dijalankan di Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang.
Katanya, melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (sebelum pindaan) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Orang ramai tegas MCMC, adalah dingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan internet dan tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia. – WILAYAHKU