PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M (MTHQK) pada 27 April 2025 (Ahad) pukul 9 malam di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberitahu majlis yang akan berlangsung selama enam hari bermula 27 April hingga 2 Mei 2025
adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI.
“Penganjuran MTHQK tahun ini adalah kali yang ke-67 sejak pertama kali dianjurkan pada 1960. Dengan sejarah yang panjang ini, ia menunjukkan komitmen kerajaan
untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar bagi menarik minat semua golongan
masyarakat Islam Malaysia.
“Penganjuran ini juga selaras dengan nilai MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan umat melalui pengukuhan ilmu, pemerkasaan perpaduan dan kepimpinan yang
berwibawa,” tulis kenyataan itu.
Tambahnya, penganjuran kali ini bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“JAKIM ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis atas kesudian menjadi tuan rumah MTHQK 2025 di mana MTHQK merupakan program
tahunan JAKIM yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri.
“Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh baginda pada 2 Mei 2025 (Jumaat), 9 malam.
“Orang ramai dijemput hadir menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2025 yang turut bersiaran secara langsung di saluran TV1 RTM, radio RTM, TV
Al-Hijrah serta saluran media sosial rasmi JAKIM,” ujarnya. – WILAYAHKU