MISI kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) memburu 70 pingat emas selain muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 bermula di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh, pihaknya menyediakan peruntukan mencecah RM6 juta sebagai persiapan menghadapi SUKMA di Bumi Kenyalang kali ini.
“Peruntukan itu merangkumi pembelian peralatan, pelantikan jurulatih sepenuh masa kepada pasukan-pasukan sukan serta keperluan logistik semasa berada di Sarawak yang melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
“Peruntukan kewangan itu merupakan langkah proaktif MSWP bagi meningkatkan prestasi para atlet Wilayah Persekutuan supaya lebih fokus dalam menjalani latihan.
“Atlet-atlet WiPers telah memulakan latihan secara terancang sejak Oktober tahun lepas bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu. Saya pasti mereka sudah bersedia untuk memburu pingat di SUKMA kali ini,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Isnin.
Nik Ahmad Zahiruddin menaruh keyakinan kontinjen WiPers mampu mencapai sasaran 70 pingat emas berdasarkan prestasi semasa atlet dan prestasi SUKMA Ke-20 apabila mereka menduduki tempat ketiga keseluruhan.
“Saya juga mahu setiap atlet mengekalkan disiplin tinggi dalam membawa cabaran Wilayah Persekutuan di SUKMA edisi kali ini. Disiplin merupakan elemen paling penting bagi mengekalkan prestasi tinggi ketika bertanding dalam apa sahaja jenis sukan. Sehebat manapun seorang atlet itu, jika tidak berdisiplin, keupayaannya itu tidak akan ke mana.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet-atlet kita. Kita harap prestasi mereka di Sarawak ini dapat memberikan pulangan dan keputusan cemerlang selain menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini.
“Kepercayaan penuh diberi kepada jurulatih dan dengan keupayaan mereka, saya harap ada sesuatu yang positif dan sinar untuk kontinjen WiPers bagi edisi kali ini. Insya-Allah dengan perancangan yang rapi, usaha keras dan semangat sepasukan yang tinggi, saya yakin kejayaan itu pasti akan tiba,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata pasukan kesihatan kontinjen WiPers meliputi tiga doktor sukan dan 30 anggota kesihatan lain termasuk ahli fisioterapi dan tukang urut di mana dua doktor akan ditempatkan di Kuching dan seorang di Miri.
Sebagai rekod, WiPers merangkumi atlet dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merupakan antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan membawa seramai 711 atlet terdiri daripada 387 atlet lelaki dan 324 atlet wanita yang akan bersaing dalam kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan. – WILAYAHKU