MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) mempelawa orang ramai yang kreatif dan berbakat untuk menyertai Pertandingan Mencipta Logo MSWP sebelum penyertaan ditutup pada 21 Januari ini.
Menurut MSWP, penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.
“Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi hanya layak memenangi satu hadiah sahaja. Semua ciptaan mestilah asli dan tidak ditiru atau diciplak daripada mana-mana logo tempatan mahupun luar negara,” ujarnya panel penilai berhak untuk membatalkan penyertaan sekiranya peserta tidak mematuhi mana-mana syarat yang dinyatakan.
Dalam masa sama, MSWP memaklumkan penganjur tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang tuntutan daripada pihak ketiga.
“Sekiranya terdapat persamaan dalam reka bentuk logo yang dihantar, peserta yang terlebih dahulu menghantar borang lengkap dengan ilustrasi yang jelas akan dianggap sebagai pemenang.
“Reka bentuk mestilah baharu dan asli serta tiada unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung mana-mana pihak.
“Semua logo yang diterima akan menjadi hak milik MSWP dan tidak akan dikembalikan,” ujarnya pihak MSWP berhak terhadap logo yang dipilih sama ada untuk dipinda atau diubah suai dan digunakan dalam mana-mana acara rasmi dan bahan promosi yang difikirkan wajar tanpa perlu membuat sebarang notis atau bayaran kepada peserta.
Tambahnya, pemenang pertandingan tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 selain turut membawa pulang cenderahati.
Sebarang keterangan lanjut mengenai syarat dan terma penyertaan, boleh layari laman sesawang https://bit.ly/PertandinganMenciptaLogoMSWP. – WILAYAHKU