MAJLIS Sukan Negara (MSN) melalui Jawatankuasa Pemantauan akan menjalankan pemantauan secara berkala terhadap program pembangunan pasukan Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun negara.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ini termasuk peruntukan disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 termasuk peruntukan tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan peruntukan tersebut digunakan mengikut tujuan yang telah ditetapkan dan dimanfaatkan secara optimum untuk memberi impak positif.
“Ranking semasa pasukan bola sepak Malaysia ialah 132. Kerajaan dalam Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembangunan sukan bola sepak khusus bagi pasukan Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun negara di mana sejumlah RM10 juta akan dibiayai kerajaan manakala RM5 juta pula oleh pihak swasta.
“Pada 12 Januari lalu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta menjadikan keseluruhan peruntukan kepada RM30 juta. Peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta ini akan dibiayai oleh pihak swasta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KBS menjawab soalan mengenai program revolusi Harimau Malaya dalam menaikkan ranking bola sepak Malaysia dalam FIFA.
Kementerian itu menambah, peruntukan khas berkenaan adalah untuk memastikan persiapan pasukan bola sepak kebangsaan dan pasukan bawah 23 tahun negara dibuat dengan
lebih berstruktur dan kompetitif serta dapat mempertingkatkan prestasi pasukan melalui sokongan yang berterusan.
Melalui dana tambahan tersebut katanya, membolehkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan perubahan pengurusan organisasi dengan melantik tenaga pakar dan khidmat kejurulatihan terbaik.
Katanya, FAM telah melantik empat tonggak utama iaitu Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif; Peter Cklamovski (Ketua Jurulatih Harimau Malaya); Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih B-23 kebangsaan; dan Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan. – WILAYAHKU