Berita

MSN lulus 33 pemain sepak takraw

PASUKAN negara bakal menghadapi cabaran besar pada tahun 2025 dan 2026.
- Diterbit 7 Januari 2025 6:41 PM MYT

MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah meluluskan seramai 33 pemain sepak takraw bagi Program Podium 2025, sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan dan temasya penting dalam tempoh dua tahun akan datang.

Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abidullah Salleh berkata, kesemua 21 atlet lelaki dan 12 atlet wanita itu dijadualkan untuk melaporkan diri di MSN pada 2 Januari lalu.

PSM sebelum ini memohon kepada MSN untuk mempertimbangkan peningkatan kuota pasukan lelaki daripada 18 orang kepada antara 21 hingga 24 atlet.

“Sesi pemilihan dan pemantauan telah dijalankan oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan berdasarkan prestasi semasa atlet ketika Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2024, Sepak Takraw League (STL) dan Piala Tun Ali 2024 untuk pasukan lelaki.

“Bagi skuad wanita, pemilihan dilakukan semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Piala Tun Ali 2024 serta sesi pemilihan yang berlangsung dari 9 hingga 13 Disember di MSN Bukit Jalil,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Antara cabaran utama yang bakal ditempuhi oleh pasukan kebangsaan adalah Sukan SEA Thailand pada Disember depan, Piala Asia 2025, Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh PSM, skuad lelaki dibarisi oleh tujuh tekong termasuk Mohammad Syahir Mohd Rosdi, lapan apit kanan dan enam apit kiri manakala pasukan wanita terdiri daripada masing-masing empat tekong, apit kanan dan apit kiri.

Sebanyak 10 pingat emas akan dipertaruhkan dalam acara sepak takraw (termasuk chinlone) di Sukan SEA 2025, sementara lapan pingat emas menjadi sasaran di Sukan Asia 2026. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas