Berita

MSN laksana Program Podium untuk atlet Sukan SEA 2027

- Diterbit 24 Mac 2025 3:25 PM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) melaksanakan Program Podium dalam menyediakan atlet ke temasya Sukan SEA 2027 sejak awal tahun lalu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia bagi mengenal pasti kelompok atlet berdasarkan kriteria pemilihan yang ditetapkan iaitu yang berada pada kedudukan antara empat hingga enam di peringkat Asia Tenggara.

“Pelaksanaan Program Podium yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh MSN dengan kerjasama pemegang taruh utama bukan sahaja merangkumi program penyediaan atlet ke arah temasya Sukan SEA 2025 malah ia turut merangkumi Sukan Komanwel/Asia 2026 dan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai persiapan dan pelan hala tuju KBS sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dan langkah jangka panjang bagi persiapan atlet negara untuk Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik akan datang.

Hannah berkata, pihak kementerian telah menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi menguruskan latihan atlet terbaik di bawah Program Podium supaya prestasi mereka dapat ditingkatkan melalui program latihan yang disediakan oleh jurulatih.

“Sudah semestinya peruntukan kewangan yang disediakan ini akan digunakan sewajarnya dalam menyediakan atlet ke arah prestasi yang lebih baik.

“Bagi persediaan atlet ke arah Sukan SEA 2027, MSN akan melaksanakan fasa pertama program penyediaan atlet sebaik sahaja Sukan SEA 2025 berakhir.

“Dijangka sebanyak RM146 juta diperlukan bagi kos penyediaan atlet ke arah Sukan SEA 2027 di mana ia merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus daripada RM122 juta yang dibelanjakan khusus untuk program penyediaan atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, bagi edisi kali ke-34 dan kali ke-7 Malaysia sebagai tuan rumah, kementerian telah bersetuju untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dengan kos penganjuran ditanggung secara bersama oleh negeri-negeri terlibat.

Pada masa yang sama juga jelasnya, penubuhan Sekretariat Sukan SEA 2027 dalam masa terdekat ini akan menyelaraskan aspek penganjuran temasya yang berbaki dua tahun lagi.

“KBS juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak swasta dan korporat untuk mendapatkan penajaan dalam bentuk wang tunai dan barangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas