RED Panthers Junior Football Academy (RPJFA) telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) bersama MSB Global Security (M) Sdn Bhd, baru-baru ini.
Pengarah Urusan MSB Global Security (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Saiful Bahari Mamat berkata MoU tersebut menunjukkan jalinan kerjasama antara kedua belah pihak dalam memajukan lagi sukan bola sepak.
“Bermula seawal tahun 2016 kita sudah mempunyai kerjasama dengan pasukan bola sepak sekolah rendah.
“Pada tahun berikutnya, pihak kami telah mengikat Red Panther dan melihat pada prestasi mereka yang begitu komited, saya memberi kata putus untuk menjadi penaungnya namun ia perlu ditangguhkan terlebih dahulu apabila negara kita dilanda pandemik sejak tahun 2020,” katanya pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Menandatangani MoU di antara Red Panthers Juniors Football Academy bersama MSB Global Security (M) Sdn Bhd.
Tambah beliau, kerjasama ini juga adalah bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan namun mempunyai kemahiran dan minat dalam bermain bola sepak.
“Kerjasama ini juga adalah bertujuan bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan membiayai yuran untuk memasuki mana-mana kelab bola sepak.
“Praktikal amat penting dan sebab itu kita cuba bantu sebaiknya dan dari segi disiplin juga ia perlu diterapkan dari peringkat sekolah lagi,” ujarnya.
Berkongsi berkenaan harapannya terhadap pasukan RPJFA, beliau berkata semua pemain perlu menunjukkan sisi positif serta disiplin yang tinggi.
“Semestinya harapan saya sendiri sebagai penaung pasukan adalah tinggi.
“Kita mengharapkan semua pemain dapat bermain sehingga mewakili pasukan negara suatu hari nanti namun di peringkat ini cukup kalau mereka menunjukkan disiplin yang tinggi serta melayakkan diri untuk mewakili negeri,” tambahnya yang juga merupakan penaung RPJFA bermula tahun 2022.
Terdahulu, Red Panthers Junior Football Academy (RPJFA) telah menandatangani sebuah MoU bersama MSB Global Security serta pelancaran jersi sempena Liga Superimau telah berlangsung bertempat di Hotel Everly, Putrajaya, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Akaun MSB Global Security (M) Sdn. Bhd, Datin Seri Azyyaty Othman; Pengarah Urusan Syarikat Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd, Hiroshi Hamada dan Presiden RPJFA, Mohd Nasyruddin.
RPJFA mempunyai tiga pasukan di bawahnya iaitu U10, U12 serta U14 dan Liga Superimau merupakan penampilan pertama mereka pada tahun ini. -WILAYAHKU