Berita

MPP jadi mata telinga kerajaan, angkat martabat penduduk

ROSLEE (tengah) ketika mempromosikan PADU kepada penduduk di Labuan.
- Diterbit 23 Oktober 2024 12:41 PM MYT

MAJLIS Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan akan terus menjadi penghubung utama yang berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memartabatkan penduduk serta berdaya saing.

Pengerusi MPP Zon Labuan, S.Roslee Matusin berkata penubuhan majlis itu berdasarkan kepada perhubungan di antara pihak kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan masyarakat.

Katanya, MPP juga berperanan sebagai struktur komuniti dalam menentukan keperluan dan penyertaan penduduk setempat  di Wilayah Persekutuan dalam pembangunan, perpaduan, kesejahteraan dan kelangsungan hidup.

“Kami di pihak MPP sentiasa menjadi mata dan telinga untuk memastikan setiap agenda yang disarankan oleh kerajaan seperti penganjuran program, bantuan dan sebagainya dapat disampaikan kepada masyarakat agar ia dapat memberikan manfaat kepada semua.

“Pelbagai program dan bantuan telah dilaksanakan oleh kerajaan menerusi jabatan agensi kerajaan di sini dan kami sebagai MPP harus menyebarluaskan maklumat itu kepada masyarakat setempat agar mereka dapat menerima manfaat tersebut,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau berkata pada awal tahun lalu, pihaknya telah berjaya meningkatkan pendaftaran penduduk di pulau itu untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Padu Utama (PADU).

“Pada awal tahun ini, kita telah mengerahkan seluruh ahli-ahli MPP bagi membantu agensi kerajaan untuk mempromosikan kepada penduduk setempat mengenai keperluan dan kepentingan inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan.

“Alhamdulilah, dengan usaha gigih bersama pihak agensi kerajaan yang lain, Labuan telah mencatatkan pendaftaran PADU yang memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tanggungjawab dalam melaksanakan tugas MPP tidaklah semudah yang disuarakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Ada yang berpandangan penubuhan MPP tersebut sebagai satu pembaziran kerana sering dianggap berlakunya pertindihan kuasa dengan bidang kuasa ketua kampung.

“Saya sendiri sebelum ini pernah menjawat jawatan ketua kampung dan saya akui terdapat segelintir pihak yang keliru dengan dua bidang kuasa itu khususnya dalam menyalurkan aduan dan isu-isu berbangkit.

“Tidak dinafikan perkara ini sering berlaku namun ia bukan isu yang perlu diperbesarkan. Bagi setiap aduan komuniti kampung sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada ketua kampung untuk mengambil tindakan seperti melaporkan aduan kepada pihak berkaitan. MPP hanya boleh memberikan sokongan kepada isu yang dikemukakan,” ujarnya.

Tambahnya, istilah pertindihan kuasa tidak seharusnya timbul kerana setiap bidang kuasa yang diwujudkan mempunyai peranan tersendiri dalam menjalankan amanah dan suara kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas