Fokus

Mpox: Jaga tingkah laku sosial

Gambar hiasan
- Diterbit 6 September 2024 11:50 AM MYT

DUNIA digemparkan dengan pengisytiharan kecemasan kesihatan global berikutan wabak cacar monyet (Mpox) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos lalu.

Di Malaysia, walaupun kes masih terkawal namun itu bukanlah alasan untuk memandang ringan terhadap situasi ini.

Mpox adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus monkeypox daripada kumpulan Orthopoxvirus. Secara amnya, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira orientasi seksual walaupun data semasa menunjukkan kadar jangkitan lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sesama jenis.

Menurut Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Dr Jasmine Elanie Khairat, antara gejala jangkitan Mpox ialah pembentukan ruam dan lepuh pada kulit disertai oleh demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, lemah badan dan pembengkakan nodus limfa.

“Walaupun kebanyakan individu pulih tanpa rawatan, Mpox boleh membawa komplikasi serius dan mengancam nyawa terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita hamil dan individu dengan sistem imuniti yang lemah.

“Komplikasi teruk boleh berlaku jika Mpox menjangkiti kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imuniti rendah termasuk jangkitan bakteria yang teruk daripada keradangan kulit, kerosakan pada otak (ensefalitis), jantung (miokarditis) atau paru-paru (pneumonia), masalah mata dan juga kematian,” ujarnya.

Beliau berkata gejala jangkitan adalah berbeza-beza dan bergantung pada tahap ketahanan badan individu.

“Kebiasaannya ia berlangsung selama dua hingga empat minggu. Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah lebih berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk. Terdapat juga laporan jangkitan Mpox daripada ibu kepada bayi dalam kandungan. Namun, ada individu yang tidak menunjukkan sebarang gejala selepas dijangkiti virus Mpox.

“Selain itu, Mpox merebak melalui kontak rapat yang berpanjangan, lebih mudah dikenal pasti gejala atau tanda tetapi tidak mudah menular dalam persekitaran sosial biasa seperti COVID-19 yang mempunyai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (R0) lebih tinggi, mudah menular secara titisan pernafasan dan melalui udara serta pelbagai varian.

“Jangkitan Mpox daripada jenis clade I berpotensi untuk menyebabkan gejala lebih teruk dan kematian berbanding clade II. Kadar kematian di negara endemik Mpox juga rendah, dianggarkan antara tiga hingga enam peratus sahaja.

“Secara umumnya, Mpox kurang berbahaya dan lazimnya akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus. Jika seseorang terdedah kepada virus Mpox, ia mungkin mengambil masa selama enam hingga 13 hari (dalam julat lima hingga 21 hari) tempoh inkubasi sebelum fasa gejala mula kelihatan,” ujarnya.

Jasmine berkata fasa bergejala boleh dibahagikan kepada dua iaitu Fasa 1 selama satu hingga lima hari pertama dengan gejala jangkitan virus seperti demam, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot dan kelesuan serta bengkak kelenjar limfa.

“Manakala Fasa 2 pula ialah selepas satu hingga tiga hari demam dan muncul gejala ruam pada tangan, kaki, dada, muka, mulut atau kawasan alat kelamin. Ruam akan melalui beberapa peringkat iaitu pada mulanya kelihatan seperti jerawat atau lepuh (berair) dan berakhir dengan kudis atau keruping (scab) sebelum sembuh. Pesakit yang dijangkiti Mpox biasanya akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu.

“Virus Mpox boleh disebarkan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum berlaku ruam pada kulit sehingga 21 hari, bermula gejala atau sehingga keruping tertanggal dan pesakit tidak lagi bergejala,” ujarnya.

Mpox tersebar melalui cecair badan seperti hubungan intim, air liur, sentuhan langsung pada lepuh dan luka akibat gigitan atau cakaran haiwan tercemar.

“Hasil kajian seperti dilaporkan dalam jurnal The Lancet yang diterbitkan pada 2023 menyimpulkan hubungan intim adalah laluan utama penularan wabak Mpox berbanding penyebaran melalui pernafasan.

“Menurut kajian diterbitkan oleh The New England Jounal of Medicine pada tahun 2022, 98 peratus pesakit dari 16 negara adalah dalam kalangan mereka yang mengamalkan hubungan sesama jenis. Justeru, risiko penyebaran dan peningkatan kes Mpox secara drastik adalah lebih rendah berbanding Influenza dan COVID-19,” ujarnya.

Individu yang dijangkiti Mpox berpotensi menyebarkan jangkitan kepada orang lain jika semua lepuh pada kulit mereka tidak kering dan sembuh sepenuhnya.

“Jangkitan Mpox mungkin disalah anggap sebagai cacar (smallpox) atau cacar air (chickenpox) kerana gejala yang hampir serupa. Apa yang membezakan Mpox dan cacar air ialah virus penyebab jangkitan, cara penyebaran jangkitan serta ciri-ciri lepuhnya yang tersendiri.

“Pengesahan makmal dilakukan dengan menguji sampel lepuh dengan menggunakan kaedah tindak balas rantai polimerase (PCR). Diagnosis yang tepat dapat membantu mempercepatkan proses rawatan Mpox.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan WHO, pemberian vaksin cacar mampu mengurangkan risiko jangkitan Mpox sehingga 85 peratus,” ujarnya.

Wabak Mpox adalah ancaman kesihatan global yang perlu ditangani dengan serius. Walaupun potensi Mpox untuk mengulangi fenomena pandemik COVID-19 adalah rendah namun masih perlu berhati-hati. Di Malaysia, jumlahnya masih kecil dan bukan berstatus penularan tempatan.

“Kita perlu yakin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia dalam kesiapsiagaan menghadapi pandemik Mpox ini berbekalkan pengalaman menangani pandemik COVID-19. Ini termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP), fasiliti dan sumber manusia dalam aspek pengesanan awal kes, diagnostik, pengurusan kes dan kontak serta latihan dan pendidikan kesihatan,” ujarnya.

RAWATAN DAN VAKSIN

Buat masa ini, tiada rawatan khusus untuk jangkitan Mpox, sebagaimana jangkitan virus yang lain.

Menurut Jasmine, kebanyakan pesakit selalunya akan sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan, namun rawatan simptomatik boleh diberikan jika perlu untuk mengurangkan gejala dan mencegah komplikasi kepada pesakit yang mempunyai risiko kesihatan lain.

“Dalam kes-kes yang serius, ubat antivirus seperti tecovirimat yang juga dikenali sebagai TPOXX atau ST-246 boleh digunakan. Melalui garis panduan yang dikeluarkan oleh WHO dan KKM, vaksin cacar juga telah terbukti berkesan dalam mencegah Mpox dan boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi.

“Terdapat dua vaksin utama yang digunakan untuk mencegah Mpox iaitu Jynneos (dikenali sebagai Imvamune atau Imvanex) dan ACAM2000.

Imvamune adalah vaksin yang lebih baru dan diluluskan khusus untuk mencegah Mpox dan cacar. Ia diberikan dalam dua dos dengan jarak empat minggu di antara kedua-dua dos. ACAM2000 pula adalah vaksin yang pada asalnya dibangunkan untuk mencegah cacar tetapi nampaknya turut memberikan perlindungan terhadap Mpox. Ia diberikan dalam satu dos melalui kaedah yang unik,” ujarnya.

Beliau berkata proses ini melibatkan penggunaan jarum khas dua mata (bifurcated needle) yang diperbuat daripada keluli tahan karat yang mana jarum itu dicelup ke dalam larutan vaksin dan kulit di bahagian atas lengan ditusuk beberapa kali (scarification) dengan titisan vaksin tersebut.

“Walau bagaimanapun perlu diingat ketersediaan vaksin Mpox yang dinyatakan di sini adalah terhad dan hanya diberikan mengikut keutamaan kepada individu yang berisiko tinggi seperti petugas kesihatan, kontak rapat kes Mpox dan individu dengan sistem imun yang lemah sahaja.

“Selain tidak panik, langkah-langkah pencegahan perlu diterapkan. Ini termasuklah mengamalkan kebersihan diri yang baik, mengelakkan sentuhan dengan orang yang dijangkiti dan menunjukkan simptom, mengelakkan berkongsi barangan peribadi dan mengamalkan hubungan seks selamat.

“Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat negara-negara yang terjejas oleh wabak Mpox seperti Thailand dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan.

“Penyebaran dan perkongsian informasi berkaitan Mpox kepada masyarakat adalah jalan paling efektif untuk mengekang penularan virus ini. Hanya dengan penglibatan masyarakat sahaja mampu memutuskan rantaian penularan wabak‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas