Berita

MPOGCF terima pengiktirafan antarabangsa

- Diterbit 9 Disember 2024 6:29 PM MYT

PROJEK perhutanan semula tajaan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dikenali sebagai Projek Pengurusan Hutan Mampan Ulu Segama-Malua (USM SFMP) memperoleh pengiktirafan akreditasi antarabangsa Ecosystem Restoration Field Verification Certificate atau Sijil Pengesahan Lapangan Pemulihan Ekosistem.

Menurut MPOGCF akreditasi berkenaan dianugerahkan oleh Preferred by Nature (PbN), sebuah badan pensijilan antarabangsa kepada Jabatan Perhutanan Sabah selaku pemilik tapak projek adalah sah untuk tempoh lima tahun, bermula November tahun ini sehingga November 2029.

“Kawasan yang memperoleh pengiktirafan ini melibatkan Fasa 2 bagi Projek Penanaman Sejuta Pokok di kawasan hutan terosot seluas 200 hektar di Lower Kawag, Lahad Datu, Sabah dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama-Malua yang merupakan sebahagian daripada USM SFMP.

“Ia telah bermula pada 2021 dan MPOGCF memperuntukkan hampir RM30 juta untuk tempoh 10 tahun bagi keseluruhan projek,” katanya.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, Projek Penanaman Sejuta Pokok itu bertujuan memulihkan habitat semula jadi orang utan dan pada masa yang sama membantu mengurangkan pelepasan karbon.

“Projek ini adalah selari dengan komitmen industri sawit Malaysia untuk memulihara biodiversiti negara dan agenda pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

“Selain itu, ia (untuk) sumbangan signifikan kepada agenda antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) dan United Nations Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030,” katanya.

Selain itu, katanya, projek ini juga menyokong agenda negara di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) iaitu Kempen Penanaman 100 juta pokok.

Hairulazim berkata, Projek Penanaman Sejuta Pokok ini juga telah membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan yang berperanan sebagai pembekal benih dan anak-anak pokok kepada MPOGCF melalui Jabatan Perhutanan Sabah.

“Projek penanaman pokok ini telah memasuki fasa ketiga dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh MPOGCF setakat ini mencecah hampir RM1 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Hairulazim berkata, pengiktirafan itu juga merupakan pengiktirafan penting terhadap komitmen Malaysia kepada pengeluaran minyak sawit secara bertanggungjawab, mampan dan kebolehjejakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas