SYARIKAT pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) berjaya meningkatkan kecekapan pengendalian kargo dan perkhidmatan pelabuhannya di Labuan Liberty Wharf.
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong pemulihan pengendalian kargo pantas pelabuhan tersebut telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik terpenting di rantau ini.
Katanya, kecekapan operasi MPM menanam keyakinan pemain industri perkapalan yang kini melihat Labuan Liberty Wharf sebagai pelabuhan pengendalian kargo boleh dipercayai.
“Komitmen MPM memacu pertumbuhan sebagai pemain logistik serantau menarik lebih banyak trafik kapal dan memainkan peranan penting dalam sektor maritim Malaysia,” katanya selepas mengadakan lawatan ke MPM.
Sementara itu, Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata evolusi pelabuhan itu mencerminkan usaha pihak berkepentingan di mana pihaknya turut menekankan peralihan pelabuhan kepada operasi 24 jam, membolehkan lebih produktiviti.
“Berdepan cabaran, termasuk kesan sekatan COVID-19 sebelum ini, MPM telah bekerjasama dengan agensi kerajaan memulihkan keyakinan syarikat perkapalan terhadap keupayaan Labuan,” katanya. WILAYAHKU.