PERSATUAN Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) hari ini mencatat sejarah dengan memertai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM).
MoU itu merupakan kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif
negara.
Sebagai simbol sokongan kepada usaha ini, majlis turut menyaksikan penyerahan empat replika cek kepada UUM.
Tiga replika cek merupakan geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi penyerahan cek adalah bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang berjumlah RM32,000.
Program Biasiswa Yayasan PEKEMA ini menzahirkan komitmen PEKEMA dalam menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan di bidang pendidikan tinggi di Malaysia.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif PEKEMA untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia.
“Kami percaya kolaborasi ini bukan sahaja akan menghasilkan rumusan bagi memperkasa ahli-ahli PEKEMA tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan, yang menjadi teras kepada kemajuan negara,” katanya.
Turut hadir dalam majlis MoU itu adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Fo’ad Sakdan.
Delegasi dari KPT dan UUM, barisan EXCO dan ahli jawatan kuasa PEKEMA turut hadir dalam majlis itu.
Sementara itu, Nazari berkata gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman PEKEMA dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
Beliau menekankan kepentingan jalinan itu sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ahli PEKEMA dalam menghadapi landskap automotif yang kian mencabar.
“Melalui MOU ini, PEKEMA dan UUM akan bekerjasama rapat untuk menjalankan penyelidikan yang dapat memberikan wawasan strategik kepada ahli-ahli kami, termasuk strategi untuk inovasi produk, penambahbaikan operasi, dan penerokaan insentif cukai,” katanya.
Menurut Naib Canselor UUM, Fo’ad berkata kerjasama ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan hubungan antara universiti dan industri.
“Penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“Kerjasama ini akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara,” katanya. – WILAYAHKU