Berita

MoU kerajaan Malaysia-India pastikan kemasukan pekerja asing digajikan ikut saluran undang-undang

- Diterbit 10 Disember 2024 1:32 PM MYT

PEMETERAIAN Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan India mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja adalah untuk memastikan proses penggajian pekerja asing mengikut saluran yang dibenarkan dan selaras dengan undang undang perburuhan domestik serta standard perburuhan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata MoU yang telah ditandatangani pada 20 Ogos 2024 bagi memastikan kemasukkan pekerja secara teratur, selamat dan pada kos yang berpatutan.

“Ia juga bagi mengelakkan pekerja-pekerja ini dieksploitasi sehingga terdedah kepada amalan buruh paksa dan elemen pemerdagangan manusia antarabangsa,” katanya ketika menjawap soalan Senator Datuk Noraini Idris yang bertanyakan mengenai pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai dengan negara India di New Delhi pada Ogos lalu dapat menghasilkan impak yang lebih positif kepada penawaran tenaga kerja asing yang optimum dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) serta sektor-sektor lain di negara ini.

Berhubung dengan aspek pengambilan pekerja, KESUMA berkata India merupakan negara sumber yang dibenarkan untuk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, perladangan, perlombongan dan kuari dan perkhidmatan.

“Pengambilan pekerja asing daripada mana-mana negara bagi tujuan bekerja di Malaysia adalah tertakluk kepada permintaan majikan dengan mengambil kira kesesuaian pekerja tersebut dalam sesuatu
industri.

“Kerajaan tidak terlibat dalam menentukan pemilihan pekerja. Peranan kerajaan adalah memastikan majikan mematuhi undangundang perburuhan. Kelulusan kuota diperolehi setelah majikan menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Ujar KESUMA, MoU India ini akan diperincikan dengan lebih lanjut melalui platform Joint-Working Group antara kedua-dua Kerajaan yang dijangka akan diadakan dalam tempoh suku tahun pertama 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas