KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan peruntukan sejumlah RM250,000 kepada Pusat Aktiviti Homestay Kampung Sungai Labu menerusi Projek Pemuliharaan Ubah suai dan Menaik taraf bagi tahun 2024.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, peruntukan itu adalah sebagai langkah awal melakukan persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“MOTAC dari semasa ke semasa sentiasa memberikan sokongan untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan fasiliti yang sedia ada dan kita telah merancang untuk melaksanakan pelbagai program pada Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Bermula sekarang kita harus memulakan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf kemudahan fasiliti agar ia dapat memberikan keselesaan kepada semua khususnya pengunjung luar dan warga di pulau ini,” katanya kepada pemberita pada Fiesta Gastronomi Tradisional yang diadakan di Pusat Aktiviti Homestay Kampung Sungai Labu, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Shaharuddin menyatakan penganjuran itu mampu mengangkat semula makanan tradisional masyarakat di pulau itu.
“Bersesuaian dengan tema program ini untuk memperkenalkan pelbagai makanan tradisional masyarakat di sini dan ia memberikan satu peluang kepada orang luar yang belum pernah merasai makanan tersebut.
“Selain itu, ia adalah usaha MOTAC dalam mengetengah dan memartabatkan makanan tradisional kepada generasi muda agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Terdahulu, sebanyak tiga Pusat Aktiviti Homestay iaitu Kampung Patau-Patau, Kampung Sungai Labu dan Kampung Bukit Kuda menyertai program tersebut dengan mempamerkan hidangan makanan dan kuih tradisional seperti kuih jelurut dan ambuyat. – WILAYAHKU