KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memantau isu waktu daftar masyk (check-in) dan daftar keluar (check-out) hotel dengan lebih dekat dan memberikan perhatian serius supaya pemain industri terbabit memberikan penjelasan.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata pihaknya memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam serta pelancong berhubung perkara ini.
“Pihak kementerian juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati, terutamanya berkaitan dengan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
MOTAC menegaskan orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung hotel-hotel yang terlibat boleh menghubungi MOTAC melalui emel di [email protected].
Media baru-baru ini melaporkan, tindakan sesetengah pengusaha hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan perlu keluar pada jam 11 pagi.
Penetapan waktu itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya berasakan tindakan itu sebagai tidak adil kepada pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat. – WILAYAHKU