SYARIKAT pengendali bas eskpres membabitkan insiden kematian remaja 18 tahun akibat renjatan elektrik di Terminal Bas Penang Sentral, Jumaat lalu. Butterworth diarahkan mengemukakan maklum balas terhadap Surat Tunjuk Sebab (STS) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam tempoh tiga hari yang berakhir semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata syarikat terbabit diberikan tempoh selama tiga hari untuk memberi maklum balas kepada STS yang dikeluarkan pada 4 November lalu.
“Sebagai langkah awal dan amalan prosedur biasa, MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan STS kepada pengendali bas ekspres terbabit pada 4 November. Pengendali bas berkenaan perlu mengemukakan maklum balas kepada APAD dalam tempoh masa tiga hari bekerja iaitu selewat-lewatnya pada 6 November.
“STS bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas mengenai kemalangan daripada pihak pengusaha bas. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)juga telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas badan bas berkenaan pada 5 November 2024 di Butterworth, Pulau Pinang.
“Siasatan ini turut disertai Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Semalam, wakil ST, JPJ, MIROS, SIRIM dan APAD juga telah melakukan pemeriksaan awal ke atas syarikat pembuat bas terlibat (coach builder). Laporan lengkap mengenai punca insiden akan disediakan oleh Pasukan Petugas Khas setelah siasatan menyeluruh siap sepenuhnya,” kata Loke.
Loke menjawab pertanyaan dikemukakan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) di Dewan Rakyat yang memintanya menyatakan punca sebenar kejadian yang menimpa remaja lelaki berkenaan.
Isnin lalu, MOT menubuhkan pasukan petugas khas terdiri daripada JPJ, APAD, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), PUSPAKOM dan Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) untuk meneliti insiden kematian Mohamad Nur Asymawi Jasmadi,18, yang ditemukan maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang. – WILAYAHKU