Berita

Monsun Timur Laut, JPBD Labuan kerah 1,599 petugas

JPBD Labuan siap siaga hadapi banjir.
- Diterbit 1 Disember 2023 1:10 AM MYT

BAGI kesiapsiagaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), seramai 1,599 petugas membabitkan 21 jabatan dan agensi di Labuan bakal digerakkan jika berlaku sebarang bencana.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail, pihaknya telah mengenal pasti 10 lokasi hot spot sebagai lokasi berisiko tinggi ketika banjir.

RITHUAN

“JPBD Labuan telah membuat beberapa persiapan awal untuk menghadapi MTL ini dengan menggerakkan 1,599 petugas pelbagai agensi untuk
menggembleng tenaga jika ada berlakunya sebarang bencana.

“Kita juga telah berjaya mengumpul aset yang akan digunakan dalam apa juga operasi khususnya operasi penyelamat dan pada masa ini kita mempunyai 25 buah lori, 46 buah kenderaan serba guna, 24 buah kenderaan pacuan empat roda, 12 buah ambulans dan 20 buah bot yang boleh digunakan operasi penyelamat,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai status Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Rithuan memaklumkan di Labuan mempunyai 25 PPS yang sedia ada dan boleh menampung lebih 7,000 mangsa dalam satu-satu masa.
“Selain itu, sebanyak 27 PPS baharu telah diwartakan dan boleh menampung lebih 12,000 mangsa,” jelasnya.

Terdahulu, MTL dijangka bermula pada 11 November ini dan berterusan sehingga Mac 2024. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku termasuk di Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas