LEMBAGA Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Pengerusi yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.
Mohd Zuki yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15 itu akan menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang telah memegang jawatan Pengerusi KWSP sejak 1 Mei 2020.
“Lembaga KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Ahmad Badri di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau yang telah meletakkan KWSP pada tahap kecemerlangan yang berterusan.
“Dalam masa sama, Lembaga KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mohd Zuki yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan mempunyai hala tuju strategik untuk terus memacu KWSP ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
KWSP berkata ia akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kewangan dan simpanan persaraan ahli khususnya dalam membantu membina masa depan yang lebih baik.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.7 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, peningkatan 29 peratus daripada RM28.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.211 trilion, di mana 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023 kepada RM57.35 bilion pada separuh pertama 2024. – WILAYAHKU