PENOLONG Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-23, berkuat kuasa hari ini.
Ia sekali gus menyaksikan Mohd Nizam memecah tradisi menjadi PAT pertama bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Udara dan Laut sedia ada.
Menurut Kementerian Pertahanan, pelantikan berkenaan bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Untuk itu Mohd Nizam dinaikkan pangkat kepada Jeneral bagi mengetuai ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.
“Pada hari ini secara rasminya, Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-22 (Mohammad) menyerahkan tampuk pemerintahan ATM kepada Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
“Terdahulu, pemakaian pangkat Panglima Angkatan Tentera ke-23 disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” jelasnya.
Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar merupakan graduan Royal Military Academy Sandhurst, England yang berprestij tinggi dan beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus kerjaya di dalam serta luar negara antaranya kursus Junior Command and Staff College, Bangladesh; Mid Career Management Course, Pakistan; Command and General Staff College Fort Leavenworth, Amerika Syarikat dan Le College Interarmees de Defense, Perancis.
Beliau juga berjaya menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya dengan cemerlang dan telah dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award oleh NRC Directing Staff Council.
Selain itu, beliau merupakan graduan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Nottingham dan dianugerahkan sebagai Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kerjaya ketenteraan beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-De-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989-1990) dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (1990-1992).
Di atas dedikasi dan kewibawaan yang ditunjukkan sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia, beliau telah diberi kepercayaan menjadi Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong ke-14 (2011-2016).
Mohd Nizam pernah menjawat jawatan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM – BPA), beliau telah menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), PUSPAHANAS, Putrajaya.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau turut mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Risia Sheikh Ali Omar Bajarai dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. – WILAYAHKU