Berita

Mohd Na’im minta pempengaruh media lebih bertanggungjawab kepada agama, negara

KREDIT foto: Facebook Dr Na'im.
- Diterbit 6 Februari 2024 4:45 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta semua pihak terutama pempengaruh media untuk lebih bertanggungjawab kepada agama dan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata pempengaruh media seharusnya memberikan contoh dan akhlak yang baik kepada masyarakat agar segala perbuatan yang diikuti akan mendapat pahala berpanjangan.

“Pada masa sama, kita membina generasi yang menjunjung tinggi nilai-nilai agama dan akhlak.

“Usahlah kerana menagih populariti dengan mencipta sensasi sehingga sanggup menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar,” katanya.

Mohd Na’im berkata justeru itu, beliau terkejut dengan laporan berita bahawa sebuah program podcast telah mengundang individu yang sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan aktiviti persundalan sebagai tetamu.

“Amat jelas aktiviti persundalan adalah satu perlakuan jijik di sisi agama,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas