TAN Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas berkhidmat selama tujuh tahun di badan induk sukan badminton berkenaan.
Kekosongan tempat yang ditinggalkan beliau akan diambil alih oleh Timbalan Presiden I, Datuk V. Subramaniam yang akan memangku tugas sebagai Pemangku Presiden sehingga Mesyuarat Agung Tahunan BAM diadakan sekitar April tahun depan.
Pengumuman itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis BAM yang dilangsungkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Mohamad Norza berkata sudah tiba masanya beliau melepaskan jawatan tersebut dan Subramaniam akan memangku tugas selaku pemangku sehingga Mesyuarat Agung Tahunan dibuat tahun depan.
“Sudah tiba masanya untuk saya melepaskan jawatan selaku Presiden BAM dan selepas ini BAM akan diterajui barisan kepimpinan yang baharu serta meneruskan kesinambungan tugas yang telah saya tinggalkan,” ujar beliau. – WILAYAHKU