JIKA sebelum ini ramai remaja gemar mengunjungi Pusat Tansit Remaja KafeTEEN sebelum atau selepas waktu persekolahan, kini Mobile KafeTEEN diwujudkan untuk turun padang mendekati remaja ke kawasan-kawasan perumahan mereka.
Antara fungsi Mobile KafeTEEN adalah bergerak bertemu golongan remaja kerana kebanyakan mereka lebih selesa berada di rumah disebabkan pandemik COVID-19.

Menurut Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) cawangan Wilayah Persekutuan, Khuzailah Affandi,41, Mobile KafeTEEN menunjukkan kerajaan lebih peka dengan masalah remaja tanpa mengira apa jua situasi.
“Pandemik COVID-19 bukanlah alasan untuk kami tidak mendekati remaja.
“Demi kebaikan mereka, kami sendiri turun padang kerana kita semua tidak digalakkan keluar rumah melainkan ada urusan yang sangat penting.
“Segala manfaat dan kemudahan yang sama di premis KafeTEEN, kami bawa turun menggunakan lori yang diberi nama Mobile KafeTEEN.
“Jadi, matlamat kami untuk membantu remaja menjalani gaya hidup sihat dapat diteruskan dengan adanya kemudahan Mobile KafeTEEN.
“Cuma kali ini pihak LPPKN sendiri turun padang mendekati mereka di kawasan-kawasan terpilih,” jelas Khuzailah yang ditemui dalam program Chill Out @kafeTEEN di Putrajaya baru-baru ini.

Khuzailah juga menjelaskan pihak LPPKN berpuas hati dengan sokongan ibu bapa dan penduduk terhadap program ini.
Ini kerana banyak aktiviti bermanfaat yang diperolehi remaja sepanjang mereka mengikuti program yang dijalankan di Mobile KafeTEEN.
“Selain mereka boleh beriadah dengan aktiviti outdoor dan indoor, kami turut menyelami masalah yang dihadapi mereka melalui program MyCounsellor.
“Remaja yang ingin berkongsi dan meluahkan apa yang terpendam di hati, boleh mengikuti MyCounsellor. Kami akan bantu dengan kepakaran yang disediakan.
“Selain itu, mereka juga boleh menambah pengetahuan tentang kesihatan melalui program MyDoctor. Misalnya kami menekankan pemahaman mereka cara mencegah COVID-19,” tambahnya lagi.

Antara program lain yang dijalankan di Mobile KafeTEEN adalah My Peer Advocater, TEENBiz, TEENChat dan TEENTalk.
Banyak kemudahan yang turut disediakan seperti kemudahan internet secara percuma, perpustakaan digital, ruangan mengurangkan stres, gerai jualan makanan (Roger Cafe) dan free printing.
Mobile KafeTEEN ini dibuka pada pukul 10 pagi hingga 4.30 petang dan bermula secara berperingkat mengikut kawasan.
Kepada remaja (13 hingga 24 tahun) di luar sana, jangan lepaskan peluang menyertai Jom Chill Out @KafeTEEN di Mobile KafeTEEN.
Sebarang maklumat lanjut boleh layari instagram @kafeteen.wpkl atau Facebook @Kafeteen Wpkl.
Semoga kemudahan Mobile KafeTEEN ini terus dimanfaatkan oleh golongan remaja demi membina masa depan yang lebih cerah. – WILAYAHKU
Foto: Terima Kasih LPPKN