MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memantau secara menyeluruh ancaman keganasan di pelbagai medium termasuk di media sosial.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata ia termasuk sebarang ancaman keganasan susulan pendirian tegas dan sokongan Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
“Kita pantau (ancaman) secara menyeluruh termasuk di media sosial dan sebagainya. Jadi kalau kita lihat (dari) satu aspek memang ada.
“Seperti mana saya sebut (beritahu) pihak berkuasa serta kerajaan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri amat prihatin dan memberi tumpuan peribadi kepada isu ini.
“MKN juga telah mengeluarkan arahan baru mengenai prosedur operasi standard berkaitan keganasan baru-baru ini dan ia akan menjadi garis panduan untuk pihak berkuasa menangani ancaman keganasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Comsec) 2023 yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk MKN, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak swasta di Melaka hari ini.
Tegas Raja Nushirwan, kerajaan tidak pernah mengambil mudah isu keselamatan negara dalam apa juga konteks ancaman termasuk ancaman palsu dab MKN sentiasa memperkemas prosedur operasi standard (SOP) serta tahap kesiapsiagaan semua pasukan keselamatan di negara ini seperti menerusi Latih Amal Keselamatan Menyeluruh. – WILAYAHKU