Berita

MITRA tingkat tenaga mahir keselamatan siber

- Diterbit 24 Januari 2025 5:39 PM MYT

UNIT Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membuka permohonan untuk menyertai Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber EC Council Tahun 2024/2025, bertujuan meningkatkan tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber dan teknologi maklumat.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P Prabakaran berkata program tersebut terbuka kepada graduan masyarakat India lepasan Diploma atau Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat.

“Mereka akan diberikan latihan percuma selama empat bulan merangkumi penempatan kerjaya kepada 200 peserta yang terpilih,” katanya dalam sidang medianya.

Mengulas lanjut Prabakaran berkata bidang keselamatan siber menjadi salah satu sektor kritikal dalam ekosistem digital dengan permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang berkenaan semakin meningkat.

“Walaupun ramai graduan tempatan berjaya menamatkan pengajian teknologi maklumat namun mereka tidak mampu melopori kerjaya keselamatan siber kerana jurang antara kemahiran dan keseluruhan industri.

“Justeru untuk meningkatkan kapasiti mereka dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan teknologi, maka MITRA telah merangka program berkenaan dan mereka juga akan diberikan elaun sara hidup sepanjang menyertai program itu,” katanya.

Program itu akan dikendalikan oleh Intellize Tech Services Sdn Bhd (Intellize) dengan kerjasama EC Council, iaitu badan pensijilan teknikal keselamatan siber terbesar di dunia, yang memberikan pengiktirafan dan sijil kepada individu dalam pelbagai kemahiran e-perniagaan dan keselamatan maklumat.

Di bawah program berkenaan, para peserta akan ditawarkan sijil profesional dalam EC Council Security Specialist, Certified Network Defender dan Certified Ethical Hacker yang bernilai hampir RM17,000, selain juga akan didedahkan kepada kemahiran insani (soft skills) seperti etika pemakaian, penulisan resume dan sebagainya.

Prabakaran berkata disebabkan kos yang tinggi, peserta akan terikat dengan kontrak bersama Intellize iaitu peserta yang gagal menghabiskan program itu perlu membayar kembali kos yang terlibat dan perkara itu akan diuruskan oleh Intellize.

Beliau turut memaklumkan setakat ini terdapat hampir 50 peserta yang layak dan mereka akan mula menjalani latihan bermula Februari ini, melibatkan 25 peserta bagi setiap fasa secara berterusan.

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://www.intellize.com.my/mitra/ sehingga 31 Jan ini.

“Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan program itu boleh diajukan kepada MITRA atau Intellize di talian 03-88866262/03-88866002/03- 88008932 pada hari bekerja atau emel kepada [email protected] atau [email protected],” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas