GABUNGAN 70 peratus muka baharu dan baki 30 peratus atlet sedia ada menjadi sumber kekuatan kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) dalam mendepani saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Edisi kali ini menyaksikan WiPers ke Bumi Kenyalang dengan misi serampang dua mata iaitu mencapai sasaran 70 pingat emas dan pada masa sama mahu mengisi kelompok dua teratas keseluruhan carta pungutan pingat selain memperbaiki pencapaian SUKMA 2022 menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.
Menurut Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan (CDM) ke SUKMA 2024, Datuk Parang Abai @ Thomas, WiPers merangkumi atlet dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merupakan antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan membawa seramai 711 atlet terdiri daripada 387 atlet lelaki dan 324 atlet wanita yang akan bersaing dalam kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan.
“Kali terakhir WiPers bergelar juara adalah pada SUKMA 2014 dan saya meletakkan harapan tinggi buat kontinjen kembali sebagai juara keseluruhan selepas 10 tahun menanti.
“Saya juga yakin dengan kemampuan kontinjen WiPers dan percaya bahawa mereka semua akan terus membawa kejayaan.
“Kalau untuk Wilayah Persekutuan, memang lubuk emas kita ialah gimrama serta akuatik. Sukan lain yang sentiasa beri emas ialah karate dan lawan pedang. Tidak lupa juga secara konsisten WiPers menerima emas daripada acara bola jaring,” ujar beliau.
Parang Abai berkata WiPers bakal berdepan tentangan hebat dari tuan rumah iaitu Sarawak di samping asakan dari negeri Selangor, Terengganu dan Johor namun mereka kini berada dalam pecutan terakhir menjalani latihan intensif menjelang temasya dwitahunan kebangsaan itu.
“Latihan diteruskan seperti biasa sehingga saat akhir dan terdapat beberapa atlet dalam acara sukan seperti tinju, angkat berat dan taekwando sedang menjalani latihan di luar negara.
“Ia merupakan sukan sasaran dan prospek untuk mendapatkan pingat emas. Memang kelaziman Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menghantar atlet menjalani latihan di luar negara setiap tahun untuk mengekalkan konsistensi mereka.
“Mereka akan kembali ke negara sebelum SUKMA, ada yang balik jumpa keluarga sekejap sebab kita mahu kesinambungan dari latihan di luar negara itu terus meningkat di SUKMA,” ujarnya.
Dalam masa sama, Parang Abai yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun beliau yakin persiapan yang kini berada di peringkat akhir akan berjalan lancar.
“Antara cabaran utama adalah dari segi logistik kerana SUKMA kali ini melibatkan beberapa bahagian di seluruh Sarawak. Biarpun cabaran membabitkan isu logistik dan peruntukan kewangan yang agak terhad, saya memohon komitmen dan kerjasama semua untuk memastikan setiap atlet kita nanti melakukan yang terbaik demi Wilayah Persekutuan.
“Selain itu, perkampungan sukan, penyediaan makanan melalui vendor, aspek keselamatan serta sukarelawan semua sudah kita sediakan,” ujar beliau.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata WiPers menyasarkan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi untuk muncul juara keseluruhan di SUKMA 2024.
Beliau juga mengumumkan insentif sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas (individu dan berpasukan), RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen WiPers.
Jurulatih atlet berkenaan pula bakal menerima RM1,000 bagi kategori sukan individu dan sukan berpasukan manakala untuk acara berpasukan pula akan mendapat imbuhan RM500.
Seterusnya, pengurus pasukan akan ditawarkan insentif RM500 bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas.
SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai. – WILAYAHKU