MARKAS Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia di Congo.
Menurut Markas Angkatan Bersama, keanggotaan dalam passukan ATM yang bertugas di Misi Stabilisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) terdiri daripada lapan orang.
Jelasnya, ia termasuk pegawai dan anggota yang berkhidmat sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) serta Pegawai Pemerhati Tentera (PTT).
“Mereka ditempatkan di Force HQ (FHQ) MONUSCO, Lava Site di Goma serta di Team Site (TS) KTJ.
“Kesemua PST dan PPT Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat, dengan situasi keseluruhan yang terkawal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Markas Angkatan Bersama memberitahu, pemberontak M23 telah menguasai sepenuhnya Bandar Goma, termasuk Lapangan Terbang Goma yang menempatkan FHQ MONUSCO, mencetuskan ancaman kepada keselamatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan protes ganas di Kinshasa.
Katanya, konflik di timur Congo berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan dan campur tangan pihak luar.
“M23 mendakwa perjuangan mereka berasaskan kepentingan politik dan keselamatan etnik Tutsi, dengan penglibatan Rwanda menambah ketegangan. Sejak 2 Februari lalu, keadaan sedikit tenang dan M23 mengisytiharkan genjatan senjata secara unilateral pada 4 Februari atas faktor kemanusiaan.
“Untuk itu PBB dan masyarakat antarabangsa perlu menilai semula strategi terhadap MONUSCO serta meningkatkan usaha diplomasi bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan,” katanya.
MONUSCO ditubuhkan pada 1 Julai 2010, menggantikan Misi PBB di Congo (MONUC) yang beroperasi sejak 1999.
Misi ini bertujuan menstabilkan Congo selepas konflik berpanjangan, melindungi orang awam serta membantu pembinaan semula negara.
Dengan mandat yang lebih kukuh, MONUSCO dilengkapi pasukan intervensi khas untuk menangani kumpulan bersenjata.
Pertukaran pegawai dan anggota adalah mengikut penjawatan dalam tempoh masa setahun. – WILAYAHKU