SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah berjaya memberikan saingan sengit apabila memenangi tempat kedua dan ketiga dalam Pertandingan International Robothon Challenge di Sea Complex Convention and Community Centre Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Menurut Guru Pengiring, Nur Shazana Ahmad langkah untuk menghantar peserta ke pertandingan berkenaan adalah rentetan daripada kemenangan pasukan sekolahnya dalam Pertandingan National Robothon Challenge 2023 di Johor dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada tahun ini.
“Pertandingan Leanbot yang dipertandingkan menguji kemahiran dan pengetahuan murid dalam coding menggunakan phytaverse dan peserta akan diberikan beberapa misi dan peta serta harus menyelesaikan misi dalam masa yang ditetapkan.
“Setiap murid diberikan dua kali percubaan dan peserta yang mencatatkan markah yang terbaik dikira pemenang,” katanya kepada Wilayahku.
Nur Shazana memberitahu, persediaan dilakukan sejak akhir Julai dan memulakan latihan dengan menjemput jurulatih daripada syarikat 5t3m iaitu Ray bagi mengajar asas coding.
“Kemudian sehari dalam setiap minggu sekali kami, akan berlatih untuk menyelesaikan coding. Namun pada dua minggu terakhir, setiap hari Isnin hingga Ahad kami stayback sehingga pukul 5.30 petang di Bengkel Agrikultur SMK Setapak Indah untuk memastikan persediaan yang mantap sebelum ke pertandingan tersebut,” katanya.
Terdapat banyak acara di IROC, antaranya adalah Lego EV3, VEX IQ dan Leanbot.
“SMK Setapak Indah telah menghantar tiga pasukan dan berjaya mendapat tempat pertama di Expert Leanbot, Tempat kedua di Elite Leanbot dan tempat ketiga di Expert Leanbot.
“Antara negara yang turut serta dalam pertandingan tersebut termasuklah Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Indonesia,” katanya.
Katanya lagi, usaha gigih dan ikhtiar yang ditunjukkan pasukannya mendapat khabar gembira apabila mendapat penajaan yang mencukupi untuk membawa tiga pasukan bersama dua guru pembimbing ke sana.
“Berikutan dana yang kami mohon adalah terhad dan hanya untuk keperluan pertandingan, kami hanya berada di sana selama dua hari satu malam.
“Dan sepanjang berada di sana, tiada masalah dan murid-murid turut mempamerkan semangat juang yang tinggi dan Alhamdulillah kami berjaya menyelesaikan misi penting iaitu menaikkan bendera Malaysia dan malah tiga kali nama sekolah kami disebut di pentas SACC Thailand,” katanya.
Dalam pertandingan tersebut, 11 pasukan daripada lima buah sekolah Kuala Lumpur telah mewakili Malaysia dalam Pertandingan International Robothon 2024 yang berlangsung di Sea Complex & Convention Centre, Bangkok, Thailand pada 24 November lalu.
Prestasi cemerlang ditonjolkan dalam pertandingan berprestij tersebut apabila memenangi 11 anugerah yang dipertandingkan dalam pertandingan berprestij tersebut. – WILAYAHKU