Fokus

Minum kopi: Nak sihat atau kejar trend semata-mata?

Gambar hiasan
- Diterbit 2 Ogos 2024 11:30 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

PADA masa kini, kopi tidak lagi dianggap sebagai sekadar sejenis minuman untuk menghilangkan haus atau mengelak rasa mengantuk semata. Ia telah perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada produk gaya hidup yang diambil secara rutin.

Lihat sahaja lambakan pelbagai jenis kafe atau jenama dari dalam dan luar negara yang terdapat di setiap pelosok negara. Malah jika ada pertemuan sama ada secara santai atau profesional, di situlah kopi bakal menjadi pilihan dan pemangkin untuk pembuka selera.

Kalau anda sekadar minum kopi untuk mengejar trend, ketahuilah bahawa kopi yang manis dan mengandungi pelbagai bahan tambahan lebih banyak membawa mudarat berbanding kebaikan.

Pengambilan kopi bagi sesetengah orang itu bertujuan untuk menghilangkan rasa mengantuk jika bekerja pada waktu malam manakala bagi yang bekerja di sebelah pagi kopi dapat mencergaskan mereka. Akan tetapi meminum kopi secara berlebihan akan memudaratkan penggemarnya kerana kandungan kafein di dalamnya sangat tinggi.

Menurut Doktor Pakar Perubatan Swasta, Dr Ahmad Samhan Awang, pengambilan kopi dalam menu sajian harian perlu diambil pada kadar sederhana dengan bilangan kurang daripada enam cawan sehari.

“Kopi adalah minuman harian masyarakat kita di Malaysia. Terdapat pelbagai jenis kopi di pasaran seperti kopi segera, kopi campuran, kopi O, kopi susu, kopi 3 dalam 1, kopi dengan pelbagai jenis herba dan sebagainya. Dengan pelbagai jenis kopi ini, ia menjadikan masyarakat lebih keliru lagi tentang kopi yang mana satu baik dan buruk untuk kesihatan.

“Tidak dinafikan, kopi mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, kenyataan ini hanya benar sekiranya anda minum kopi O dan bukannya kopi susu yang dicampur gula atau susu pekat,” ujar beliau.

Samhan berkata kopi O tanpa gula dengan jumlah yang sederhana adalah baik untuk kesihatan.

“Kopi O dengan gula yang sedikit sekadar satu sudu masih boleh dikira sihat. Tetapi kopi O yang diambil dengan pemanis gantian lain seperti stevia atau sukralosa tanpa kalori adalah lebih baik.

“Walau bagaimanapun, kopi yang dicampur dengan krimer tidak sihat kerana krimer mengandungi asid lemak trans yang tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi punca masalah pengerasan saluran darah serta masalah penyakit jantung,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata kopi mengandungi bahan perangsang (stimulant) iaitu kafein yang membantu menambahkan rasa cergas dan segar apabila diminum.

“Teh dan koko juga mengandungi kafein tetapi dalam jumlah yang lebih rendah. Secawan kopi mengandungi 95mg kafein. Menurut United States Department of Agriculture (USDA) dan European Food Safety Authority (EFSA), jumlah pengambilan kafein yang lebih selamat dalam sehari adalah tidak melebihi 400mg sehari iaitu lebih kurang dua ke empat cawan kopi sahaja sehari,” ujarnya.

Samhan berkata kopi boleh menyebabkan ketagihan bagi sesetengah orang dan kebiasaannya orang yang ketagih kopi akan mengambil kopi secara berlebih-lebihan dalam masa satu hari.

“Pengambilan yang berlebihan akan menyebabkan tangan menggigil, mengalami keresahan, masalah gastrik, pedih ulu hati, penghadaman terganggu dan mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, degupan jantung yang tidak menentu serta susah untuk tidur selain boleh menyebabkan kemurungan dan kerisauan yang melampau.

“Sekiranya selepas minum kopi, anda mula sakit perut yang memulas, ia mungkin disebabkan berlakunya gangguan pada proses pencernaan. Kopi boleh menjadi punca kepada refluks gastroesofageal. Jadi anda kena kurangkan minum kopi buat sementara waktu.

“Individu yang terlalu banyak minum kopi didapati akan mudah berasa cemas. Jika mula rasa jantung semakin pantas berdegup, itu petanda besar bahawa anda perlu kurangkan minum kopi. Kandungan kafein mencetuskan denyutan jantung yang pantas lalu boleh menyebabkan anda berasa sakit kepala.

“Seterusnya, wanita yang mengandung dinasihatkan hanya mengambil kafein tidak melebihi 200mg sehari. Pengambilan kopi secara berlebihan boleh menyebabkan keguguran atau anak yang dikandung mempunyai berat yang tidak mencukupi.

“Kesan kopi yang berlebihan juga akan menghilangkan khasiatnya yang baik seperti meningkatkan stres, meningkatkan kadar keradangan saluran darah secara tidak langsung meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia juga meningkatkan rintangan insulin darah iaitu menyebabkan masalah diabetes.

“Kajian juga mendapati bahawa kafein dapat meningkatkan tekanan darah seseorang. Walaupun kenaikan sementara ini tidak disedari, ia mungkin mempunyai kesan buruk apabila mengambil kira kenaikan ini berlaku agak kerap. Jika pengambilan melebihi 1,200mg kafein, ia boleh membawa kepada kesan sampingan yang lebih teruk seperti sawan atau kematian,” tambahnya.

AWASI KAFEIN

TIDAK dinafikan pengambilan kafein sememangnya dapat menenangkan minda, melegakan keletihan serta meningkatkan ingatan anda. Namun, minum kopi adalah baik jika diamalkan secara teratur dan tidak berlebihan.

Samhan berkata pelbagai kajian telah membuktikan bahawa kafein sangat bermanfaat untuk fungsi mental.

“Satu dos minuman berkafein meningkatkan memori jangka pendek dan meningkatkan kelajuan reaksi anda. Dalam masa sama, kajian menunjukkan penggunaan kafein dapat membantu mencegah banyak keadaan kesihatan seperti diabetes jenis 2, penyakit Parkinson dan penyakit hati.

“Bagi penggemar kopi, minuman ini mampu meredakan rasa tekanan mereka. Namun dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Johns Hopkins mendapati individu yang minum lebih lima cawan kopi akan berdepan dengan sakit kepala.

“Anda harus bertanya kepada diri sendiri sama ada kafein membuat anda berasa gelisah, cemas atau keletihan. Bagaimanakah corak tidur anda akhir-akhir ini? Bagaimana dengan keadaan kesihatan anda? Adakah anda bergantung kepada kafein?,” ujarnya.

Beliau berkata apabila ia melibatkan kafein, kesederhanaan adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan.

“Jika anda perlu mengambil empat hingga lima cawan kopi hanya untuk melewati hari anda dan masih berasa sia-sia, mungkin sudah tiba masanya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Jika anda juga mengalami tanda-tanda penuaan yang mengerikan ketika cuba berhenti daripada mengambil kafein, pasti ada masalah yang perlu diperhatikan.

“Kopi adalah seperti sejenis minuman rangsangan yang baik jika diambil mengikut dos yang sesuai secara sederhana dan tidak melampau. Jika dos ini diambil berlebihan maka kopi akan menyebabkan pelbagai kesan kesihatan yang tidak baik untuk jangka masa panjang.

“Oleh itu, bagi penggemar kopi anda perlu bersederhana dalam pengambilan kopi dan janganlah mencampurkannya dengan bahan-bahan yang berisiko tinggi untuk kesihatan seperti gula dan krimer.

“Mungkin ada yang tidak perasan kita ini peminum tegar minuman berkafein. Rasanya kalau sehari tak ambil, memang rasa serba tak kena. Ini belum lagi peminum tegar yang setiap beberapa jam akan ambil minuman kafein tak kiralah kopi, nescafe, teh dan sebagainya. Tak salah pun nak minum tapi kenalah berpada-pada. Bimbangnya ia boleh mendatangkan masalah kesihatan tanpa kita sedari,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas