Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIRS
TREND menikmati kopi berjenama bukanlah perkara baharu. Malah segelintir anak muda hari ini dilihat lebih cenderung memilih kopi untuk memenuhi trend semata-mata.
Memulakan rutin harian dengan secangkir kopi sambil memuat naik gambar atau video di laman sosial dilihat sebagai aktiviti ‘wajib’ bagi mereka.
Maka tidak hairanlah mereka sanggup membelanjakan duit kerana enggan ketinggalan menuruti trend tersebut sekali gus ramai yang hidup dalam keadaan biar papa asal bergaya.
Menurut Pensyarah di Jabatan Antropologi & Sosiologi di Fakulti Sastera & Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Rosila Bee Mohd Hussain, seiring dengan hal itu, banyak kedai kopi hipster yang wujud dan menjadi port berkumpul anak muda sekarang.
“Selain lepak dan minum, mereka akan mengambil gambar sambil memegang kopi dan sebagainya. Di situ kita boleh lihat bahawa untuk minum kopi masa kini mereka bukan sahaja perlu berhabis duit malah perlu keluarkan wang untuk membeli pakaian yang cantik bagi sesi Outfit Of The Day (OOTD) mereka.
“Ia menjadi semakin teruk apabila mereka tidak mengukur baju di badan sendiri dan sanggup berhabis beribu ringgit untuk merasa tidak ketinggalan,” katanya.
Rosila berkata minum kopi bukanlah satu trend yang baharu kerana biji kopi telah diperkenalkan sejak tahun 1779 di Malaysia.
“Kalau kita lihat orang zaman dahulu pun minum kopi cuma bezanya pada zaman kini terdapat lebih banyak variasi bagi menu kopi itu sendiri.
“Dahulu kita hanya ada kopi kampung tapi sekarang ada banyak penambahan seperti whipped cream, syrup dan lain-lain membuatkan rasa kopi itu juga berbeza tapi itu adalah cita rasa kini yang diterima masyarakat,”
ujarnya.
Tambahnya trend tersebut adalah situasi yang akan berubah setiap masa dan apa-apa sahaja perkara yang menjadi ikutan ramai pasti mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.
“Setiap individu ini berbeza tahap toleransi mereka terhadap kafein. Ada yang ketagih di mana satu hari tanpa kopi boleh buat mereka gelisah dan ada juga yang baru seteguk sahaja sudah rasa pening, loya dan sebagainya.
“Kenali diri terlebih dahulu dan ia bukan sahaja tertakluk untuk kesihatan malah dari segi kewangan juga. Tidak perlu berhabis terlalu banyak kerana ia hanya kepuasan sementara dan duit tersebut perlu digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.
“Nasihat saya buat penggemar setia kopi, beli mesin kopi sendiri kerana ia jauh lebih baik berbanding membelinya di kedai setiap hari. Selain itu, jadilah penggemar kopi yang memilih jenama berkualiti sebagai contoh biji kopi organik yang biasanya mempunyai jumlah racun perosak sintetik yang jauh lebih rendah,” jelasnya. – WILAYAHKU