Berita

Minta rasuah RM6,000 daripada peniaga ketum, dua penguat kuasa ditahan

- Diterbit 15 Januari 2025 5:44 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua anggota penguat kuasa disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas penjualan ketum di Kedah.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Januari dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2023.

“Kedua-dua suspek telah menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada peniaga ketum sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti-aktiviti tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas