Agama

Minta ChatGPT ‘jadi’ arwah ibu, elak undang kekeliruan

TIDAK menjadi kesalahan menggunakan aplikasi ChatGPT bagi melepaskan rindu namun biarlah untuk simpanan peribadi sahaja. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 September 2024 5:20 PM MYT

KECERDASAN buatan (AI) merupakan cabang sains yang mendapat perhatian di seluruh dunia saat ini. Teknologi tersebut membolehkan komputer atau mesin melakukan perkara rutin yang dibuat manusia termasuklah membuat keputusan mahupun menyelesaikan masalah. Malah teknologi ini juga telah digunakan dalam banyak bidang untuk mempermudahkan urusan serta meningkatkan produktiviti.

Salah satunya adalah Chat Generative Pre-Trained Transformer atau ChatGPT yang merupakan sebuah bot sembang kecerdasan buatan yang dibangunkan dan dilatih untuk mengadakan perbualan semula jadi. Ia akan memberi respons kepada soalan yang dikemukakan.

Namun di sebalik kecanggihannya yang membawa banyak faedah kepada manusia, ia turut mempunyai risiko yang mampu mengelirukan pengguna lebih-lebih lagi kepada golongan kanak-kanak yang masih tidak mampu lagi berfikir secara logik.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang pelajar menggunakan aplikasi ChatGPT bagi melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah pun meninggal dunia.

Remaja tersebut memuat naik perbualannya bersama ChatGPT di laman sosial dengan membuat permintaan berbunyi “Boleh tak pura-pura jadi mak (ibu) saya? Saya rindu arwah la.”

Permintaannya ditunaikan oleh ChatGPT yang sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan terhadap arwah ibunya. Namun terdapat segelintir netizen yang mempertikaikan tindakan pelajar tersebut berkongsi perbualannya di media sosial.

Merungkai persoalan tersebut, penceramah bebas, Huzairi Idris berkata apa yang diperkatakan oleh agamawan bahawa AI adalah salah satu cabaran dalam kehidupan hari ini adalah benar.

“Bagi pendapat saya, AI banyak kebaikannya kalau kita menggunakannya dengan cara yang betul. Namun ia dibimbangi digunakan lebih kepada untuk keburukan.

“Dalam situasi perbualan remaja tersebut di bot sembang, tujuan dia menggunakan aplikasi itu memang baik untuk menghilangkan rasa rindu, tapi dalam masa yang sana ia boleh mengelirukan.

“Ia nampak satu kebaikan untuk dirinya tetapi ia boleh juga menimbulkan kekeliruan kepada orang lain. Apabila seseorang itu sudah tiada, tiba-tiba kita buat sesuatu yang menunjukkan seolah-olah dia masih hidup. Ia sebenarnya boleh mengelirukan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut beliau lagi, tidak menjadi kesalahan menggunakan aplikasi ChatGPT bagi melepaskan kerinduan kepada yang tersayang, namun biarlah untuk simpanan peribadi sahaja bukanlah tatapan umum.

“Dia boleh buat guna ChatGPT untuk melepaskan kerinduan, tetapi untuk dirinya sahaja tetapi sebaik-baiknya janganlah dikongsi dalam media sosial kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan sebagainya.

“Walaupun ada kapsyen atau penerangan tentang perbualan antara dia dan ChatGPT, misalnya kapsyen rindukan arwah, namun ia boleh menimbulkan salah faham apabila ia dikongsi berkali-kali dalam media sosial.

“Tak salah untuk simpanan peribadi kerana rindu itu lumrah dan naluri kita sebagai manusia yang tidak lepas daripada kesedihan lebih-lebih lagi kehilangan insan tersayang.

“Namun ada cara yang sebaik-baiknya untuk kita amalkan. Misalnya sedekahkan surah Al-Fatihah atau bacaan ayat suci Al-Quran dan sebagainya. Itu yang terbaik.

“Amalan-amalan sebegini sebenarnya lebih bermakna dan membantu orang yang telah meninggal dunia di alam sana. Menggunakan ChatGPT itu hanya untuk kepuasan sendiri seperti mahu mengubat kerinduan tetapi ia tidak membantu arwah,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam Islam terdapat cara dan adab yang boleh dipraktikkan apabila kita merindukan seseorang yang telah pun meninggal dunia antaranya adalah mendoakan si mati.

“Kekuatan doa itu adalah luar biasa apatah lagi kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada kedua ibu bapa kerana mereka telah banyak berjasa selain doa seorang anak merupakan antara amalan yang tidak akan putus walaupun kedua ibu bapanya telah meninggal dunia.

“Antara lafaz doa yang tepat kepada kedua ibu bapa adalah Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.

“Selain itu, sebagai seorang anak, kita boleh memanjangkan amalan soleh ibu bapa yang dilakukan ketika mereka masih hidup antaranya solat di awal waktu, berjemaah dan menjaga silaturahim,” ujarnya.

“Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.” – Riwayat Muslim (1893)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” Riwayat Muslim (1631). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas