Berita

Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan sulit tidak akan didedahkan – Zaliha

- Diterbit 9 Januari 2025 5:22 PM MYT

KERAJAAN tidak akan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada umum.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, minit mesyuarat adalah satu perkara sulit dan hak kuasa itu hanya ada pada Lembaga Pengampunan.

“Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Jadi, kita tak boleh buat perkara itu open (terbuka). Itu hanya hak Lembaga Pengampunan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mengesyorkan agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan titah adendum.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu dilaporkan berkata, ia bagi memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas