Oleh ZULKIFLI SULONG
MINGGU ini dikira sebagai minggu yang penuh dengan barakah dan berita baik untuk Malaysia. Sekurang-kurang dua tokoh utama dalam bidang masing-masing melontarkan pendapat ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagi Fahmi, kemenangan Kerajaan Perpaduan melalui Barisan Nasional (BN) di Nenggiri menjadikan minggu ini penuh dengan barokah dan berita baik untuk negara ini.
Bagi Khairy pula, minggu ini adalah yang terbaik pernah dicapai oleh Kerajaan Perpaduan sejak ia dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun 2023 lalu.
Sebagai pemerhati bebas yang bukan penyokong Kerajaan Perpaduan, Khairy memberikan dua perkara sehingga mendorong kemenangan besar di Nenggiri iaitu skim baharu perkhidmatan untuk penjawat awam yang menyaksikan kenaikan gaji yang besar untuk mereka dan pencapaian ekonomi terbaik negara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak 5.9 peratus untuk suku kedua tahun ini.
“Ini bukan sarkastik tetapi memang saya benar-benar mahu memuji,” kata Khairy menerusi siaran Podcast KS beliau.
Fahmi juga memberikan alasan yang sama dengan Khairy tetapi menambah beberapa berita gembira lagi yang diraikan oleh rakyat Malaysia.
Antaranya pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa KDNK meningkat 5.9 peratus untuk suku kedua tahun ini melepasi jangkaan awal 5.8 peratus sebagaimana dinyatakan Khairy.
Ia adalah peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding 4.2 peratus yang direkodkan untuk suku pertama tahun 2024 ini.
Sebagaimana Khairy, Fahmi juga menyifatkan kenaikan gaji untuk penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lepas adalah sebaik-baik berita besar untuk Malaysia.
Anwar mengumumkan kenaikan gaji 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional.
Berita baik ketiga adalah apabila Jabatan Statistik (DOSM) mengumumkan kadar inflasi yang rendah berbanding kenaikan inflasi seluruh dunia.
Kejayaan Malaysia membawa 40 rakyat Palestin yang sakit dan memerlukan rawatan bersama keluarga mereka masing-masing ke Malaysia juga menjadi berita gembira untuk rakyat negara ini, kata Fahmi.
Ia berlaku selepas mereka sejak sekian lama membaca Qunut Nazilah untuk menghancurkan musuh umat Islam iaitu Israel dan memberikan perlindungan untuk rakyat Palestin khasnya di Gaza.
Mangsa perang yang memerlukan rawatan ini dibawa dengan dua kapal terbang tentera Malaysia dari Mesir, negara yang bersempadan dengan Gaza, Palestin.
Kesemua mereka tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Subang dan dibawa ke hospital di Malaysia untuk menerima rawatan oleh tentera Malaysia.
Bagi Pusat Media Pakatan Harapan, dua isu utama yang membawa mood positif rakyat kepada Kerajaan Malaysia MADANI sehingga membawa kemenangan kepada BN di Nenggiri.
Menurut Pengarahnya, Nazri Abdullah, isu penyelarasan gaji penjawat awam dan Istana Pahang murka kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin ekoran ucapan beliau di Nenggiri membawa mood baik untuk rakyat.
Nazri menjangkakan, mood rakyat ketika ini dalam keadaan baik (di media sosial) didorong tujuh perkara iaitu:
- Harga ayam turun
- Nilai ringgit mengukuh
- Bawa dan rawat rakyat Palestin
- Penyelarasan gaji penjawat awam
- Menang di PRK Nenggiri
- Istana murka terhadap Mahiaddin
- GDP 5.9 peratus
Bagi beliau suasana ini akan mendorong seluruh rakyat negara ini bersama Kerajaan Perpaduan khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Mengikut cerapan yang dibuat oleh Pusat Media PH yang dipimpin Nazri, netizen secara amnya meluahkan kemarahan kepada Mahiaddin rentetan memperlekehkan Al-Sultan Abdullah dan netizen mengatakan Mahiaddin telah melanggar batas dalam meluahkan ketidakpuasan hati beliau.
Netizen mengatakan, dimanakah hilangnya nilai-nilai kemelayuan sehingga sanggup berkata begitu kepada Sultan yang begitu disayangi oleh rakyat jelata.
Netizen juga rata-rata menuntut tindakan tegas diambil terhadap Mahiaddin kerana telah menyentuh elemen raja, agama dan kaum (3R).
Rentetan Tengku Mahkota Pahang sendiri yang bersuara mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas tanpa sebarang kompromi ke atas bekas perdana menteri tersebut.
Menurut Nazri, imej PN juga turut dikaitkan dalam polemik, secara tidak langsung memberi kredit kepada Kerajaan Perpaduan kerana Mahiaddin telah menyingung perasaan rakyat dalam isu ini.
“Secara rumusannya, imej Tengku Mahkota yang dilihat dekat kepada rakyat dan imej Istana Pahang (khususnya Tengku Ampuan Pahang) yang mesra dengan warga netizen telah menjana sokongan PADU daripada netizen dalam isu ini untuk mengambil tindakan kepada Mahiaddin,” kata bekas Pengarah Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa Mahiaddin menjadi Perdana Menteri itu.
Pendek kata, semua rakyat senyum gembira minggu ini. Hanya penyokong PAS sahaja yang kesipuan dan masuk gua manakala penyokong BERSATU sedang bertarung untuk mempertahankan presiden mereka sekarang.
Mungkin inikah kesannya daripada Qunut Nazilah yang dibacakan oleh MP Jasin di dalam Parlimen sebelum ini. Tanya je, janganlah marah.
TULISAN ini hanya pandangan peribadi penulis dan tidak berniat untuk menyakitkan hati sesiapa.