Berita

MINDEF teliti keperluan wujudkan angkatan siber

- Diterbit 24 Mac 2025 3:16 PM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti keperluan mewujudkan angkatan siber yang khusus, lengkap dan berkeupayaan menghadapi ancaman siber serta kempen maklumat palsu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia akan dilengkapi kepakaran teknikal yang tinggi merangkumi bidang seperti cyber threat intelligence, incident response, digital forensics serta active cyber defense.

“Keupayaan ini membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja bertindak balas terhadap serangan siber, tetapi juga mampu menghadang dan meneutralkan ancaman sebelum ia memberi kesan terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali mengenai bajet pertahanan atau mempercepat pemodenan ketenteraan dalam menghadapi ancaman tidak dijangka.

Mohamed Khaled berkata, ancaman yang tidak dijangka merujuk kepada ancaman keselamatan yang berlaku secara tiba-tiba dan sukar diramal.

Ini katanya, termasuk serangan siber, peperangan hibrid, serangan pengganas, penggunaan dron dalam peperangan, bencana alam dan konflik serantau.

“Bagi pelaksanaan Penggal Kedua Kertas Putih Pertahanan (KPP), khususnya dalam konteks bajet dan perbelanjaan pertahanan, Kementerian Pertahanan akan mencadangkan agar peruntukan perbelanjaan pertahanan negara diunjurkan sebanyak 1.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 bagi memastikan kejayaan pelaksanaan KPP.

“Kita kini memperuntukkan kira-kira 1.1% daripada KDNK negara untuk tujuan pertahanan. Cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan ini adalah seiring dengan pendekatan negara-negara jiran yang memberi keutamaan tinggi kepada sektor pertahanan bagi melindungi kepentingan negara yang berdepan cabaran yang semakin kompleks pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, dalam aspek mempercepat pemodenan ATM bagi menghadapi ancaman tidak dijangka, terdapat beberapa langkah dan strategi yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan.

Pertama jelasnya, MINDEF melalui KPP telah menetapkan hala tuju yang jelas bagi menjadikan ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang 2030.

“Kedua, selain memastikan perolehan aset-aset strategik dilakukan dengan cara yang memenuhi keperluan ATM, proses pemodenan ATM turut diberikan perhatian dengan meneliti keperluan-keperluan baharu.

“Ketiga, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan negara iaitu STRIDE, telah turut menyenaraikan bidang-bidang fokus yang kritikal untuk diterokai dan diberikan perhatian agar sektor pertahanan negara berupaya berhadapan dengan perkara-perkara seperti cyber warfare, unmanned warfare, drone warfare dan Chemical, Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) Warfare.

“Kesemua ini merupakan antara langkah pemodenan yang bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan ATM secara umum tetapi memperkemas persediaan negara menghadapi sebarang ancaman tidak dijangka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas