Berita

MINDEF jawab tohmahan jawatan Naib Canselor UPNM ‘tempat buangan’

- Diterbit 19 Februari 2025 12:32 PM MYT

PANGLIMA Angkatan Tentera (PAT) ke-20, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pernah menyandang jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Demikian ditegaskan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjawab kepada tohmahan kononnya jawatan Naib Canselor universiti itu kerap dijadikan ‘tempat buangan’ menyisihkan panglima bertaraf tiga bintang.

Malah jelas kementerian itu, proses pelantikan dan penempatan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah berlandaskan prinsip profesionalisme dan keperluan strategik organisasi.

“Bagi jawatan Naib Canselor UPNM, proses pelantikan ini diputuskan di peringkat Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Terdahulu Kementerian Pertahanan menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai tohmahan berkenaan.

Kementerian Pertahanan turut menegaskan bahawa setiap pelantikan jawatan kritikal seperti Naib Canselor UPNM adalah sebahagian daripada usaha strategik untuk meningkatkan keupayaan intelektual pertahanan negara melalui pendidikan.

Pegawai yang dilantik ke jawatan itu katanya, bukan sahaja memiliki pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang tinggi, tetapi juga mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang sebagai asas penting untuk memahami budaya organisasi dan seterusnya merancang hala tuju strategik pertahanan.

“UPNM sebagai institusi pengajian strategik negara turut merekodkan bahawa Panglima Angkatan Tentera ke-20 pernah menyandang jawatan Naib Canselor,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas