PENYANYI Mimi Fly, 39, melancarkan semula muzik video (MV)terbaru lagu raya Serumpun selepas penampilan berkembannya menerima kecaman hebat.
MV terbaru lagu Serumpun dilancarkan semula kira-kira jam 11.11 pagi tadi di platform YouTube penyanyi itu.
Menerusi video muzik terbaharu berkenaan, Mimi tampil dengan penampilan lebih sopan.
Walau bagaimanapun, rata-rata peminat yang sudah menonton MV terbaharu berkenaan meluahkan kekecewaan kerana merasakan video terdahulu lebih menarik.
“Ending sebelum ini yang killer.”
“Boring… yang lama lagi best. Tapi nak buat macam mana, netizen tak boleh terima.
“Scene buga api dah tak ada, sedih,” itu antara luahan peminat di ruangan chat YouTube.
Semalam kecoh di platform X mengenai ketiadaan muzik video serumpun di YouTube yang didakwa hilang dan tidak lagi boleh dicari.
Terdahulu bekas anggota kumpulan One Nation Emcee itu menerima kecaman hebat termasuk pendakwah apabila tampil berkemban dalam MV Serumpun.
Bagaimanapun Mimi sudah memohon maaf sekiranya ada yang terasa dengan penampilannya itu.
Menurut Mimi dia tidak berniat mahu mencetuskan kontroversi sebaliknya dia terlalu fokus kepada MV itu kerana ingin memberikan hasil karya terbaik.
Penampilan berkemban Mimi dalam MV dikritik kerana dianggap bertentangan dengan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.-WILAYAHKU